Manfaatkan kecanggihan teknologi banteras ekstremisme

Madiha Abdullah
Oktober 14, 2024 21:24 MYT
Kata Mohamad, data merupakan bahagian penting dalam strategi untuk mengukuhkan rangka kerja keselamatan negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Reaksi dan tindakan dalam usaha membanteras keganasan harus bersifat adaptif dan berinovasi.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, ini penting kerana aktiviti kumpulan pengganas semakin meningkat, malah mereka kini turut menggunakan kecanggihan teknologi.
Katanya, sistem data dan teknologi seperti kecerdasan buatan harus mula diaplikasi dalam membanteras ekstremisme.
“Keupayaan AI ini membolehkan kita menjana ringkasan artikel dan laporan yang padat, membolehkan pengamal, penggubal dasar dan penyelidik mengakses maklumat yang berkaitan dengan cepat dan cekap, dengan memperkemas proses penyelidikan dan mendapatkan semula.
“Ia memastikan pengguna dapat mengurangkan jumlah data yang sangat besar dan fokus pada apa yang paling berkaitan dengan kerja mereka. Ini bukan sahaja menjimatkan masa yang berharga, tetapi juga mempercepat proses membuat keputusan dengan menyediakan akses pantas kepada maklumat penting,” katanya.
Tambahnya, data merupakan bahagian penting dalam strategi untuk mengukuhkan rangka kerja keselamatan negara, di samping memastikan agensi keselamatan diberi latihan dan peralatan khusus bagi memahami dan bertindak balas dengan tepat.
Justeru, kerjasama yang lebih besar merentas sektor amat diperlukan kerana membanteras ekstremisme tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada satu agensi semata-mata.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian SEARCCT Centre of Research Excellence and Online Repository (SCORE), mewakili Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada Isnin.
SCORE yang merupakan komponen di bawah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), adalah satu platform dalam talian yang komprehensif dan berfungsi sebagai repositori untuk pelbagai bahan rujukan dan penyelidikan.
Ia merupakan inisiatif strategik terbaharu SEARCCT bertujuan memenuhi keperluan ahli akademik, pembuat dasar, pengamal dan masyarakat umum yang berminat membina pengetahuan dalam bidang pencegahan keganasan serta mencegah dan menentang ekstremisme ganas (PCVE).
#ekstremisme #teknologi #SEARCCT #keselamatan
;