Manfaat tanah terbiar, tanam bahan dan ramuan untuk penghasilan produk halal - Ahmad Zahid

Bernama
Julai 18, 2024 05:01 MYT
Usaha bersama itu bagi memastikan industri halal terus berkembang di peringkat antarabangsa dan tidak hanya tertumpu kepada produk makanan dan minuman sahaja. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Halal Malaysia sedang mengkoordinasi usaha bersama pihak negeri dan agensi kerajaan agar tanah terbiar dapat digunakan untuk memperluas penanaman pelbagai bahan atau ramuan bagi penghasilan produk halal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata ia sebagai usaha memastikan industri halal terus berkembang di peringkat antarabangsa dan tidak hanya tertumpu kepada produk makanan dan minuman sahaja.
"Untuk ke peringkat antarabangsa, kita harus mengusahakan banyak aspek lain umpamanya vaksin halal, dan paling penting adalah penyediaan ramuan kepada produk berkaitan halal seperti serai, lengkuas, bahan herba yang sangat diperlukan di peringkat antarabangsa untuk pengeluaran kosmetik dan lain-lain bahan.
"Kita lihat usaha-usaha telah dilakukan tetapi dibuat kecil-kecilan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu mengapa tidak banyak syarikat besar luar negara mengambil kesempatan menghalalkan produk mereka walaupun sijil halal Malaysia telah banyak diterima umat Islam di seluruh dunia.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sebanyak 9,146 syarikat mendapat pensijilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga Julai tahun ini, merangkumi 8,105 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan 1,041 syarikat multinasional.
Dalam usaha mempertingkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam industri halal, beliau berkata Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 telah menggariskan teras strategik yang memfokuskan kepada galakkan peningkatan daya saing syarikat Bumiputera.
Beliau berkata Halal Development Corporation Berhad (HDC) turut menjalankan pelbagai usaha antaranya program pembangunan melibatkan syarikat tempatan, dengan syarikat Bumiputera diberi peluang menceburi sektor halal berpotensi tinggi bagi memperkukuh rantaian bekalan serta pengadaptasian teknologi digital dan pengkomersialan produk-produk inovasi.
Sebagai contoh, Malaysia Global Halal Show 2024 menawarkan khidmat bimbingan untuk menembusi pasaran antarabangsa melibatkan 153 syarikat, dengan empat daripadanya adalah syarikat Bumiputera dalam sektor makanan dan minuman, kosmetik dan penjagaan diri.
Beliau mengemukakan jawapan itu kepada soalan asal Adnan mengenai pelan tindakan kerajaan bagi memperkasakan industri halal kepada PMKS, syarikat Bumiputera, syarikat luar bandar dan usahawan muda sejajar dengan sasaran Malaysia menjadi peneraju pasaran halal antarabangsa.
Bagi soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) tentang cara meyakinkan pelabur dalam industri halal, Ahmad Zahid berkata beliau telah menerima kedatangan pelabur dari China yang menyatakan kesediaan untuk melabur sekitar RM5 bilion di negara ini.
Bagi tujuan itu, Ahmad Zahid akan mengadakan rundingan bagaimana pelaburan tersebut dapat ditempatkan di taman-taman perindustrian halal di negeri-negeri untuk pihak negeri turut sama memperoleh agihan.
-- BERNAMA
#tanah terbiar #Ahmad Zahid Hamidi #memperluas penanaman #Majlis Halal Malaysia