Manfaat bantuan BPR, tingkat produktiviti kerja

Dewi Nur Harasha Alias
November 10, 2020 00:11 MYT
"Saya pun boleh beli seluar dan kasut baru, yang lebih selesa sebab kadang-kadang bawa motosikal kena pakaian yang betul-betul selesa," kata Mohd Eddie (kanan) selaku penerima BPR kategori bujang. - Foto Astro AWANI
GEORGETOWN: Perit untuk meneruskan kehidupan di saat negara berdepan penularan pandemik COVID-19.
Itu realiti ditanggung sebahagian besar rakyat Malaysia ketika ini.
Namun, berbekalkan semangat serta inisiatif Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), ia menjadi penguat kepada para penerima.
Bagi Mohd Eddie Hakim Badrul Asraff, dari Sungai Gelugor, di sini, dia bersyukur apabila kerajaan tetap prihatin dan turut memberikan bantuan kewangan kepada golongan bujang.
Dia yang bekerja di Pasar Awam Tun Sardon, Gelugor di sini berkata, dalam situasi ekonomi tidak menentu kini, bantuan yang diterima khususnya untuk golongan bujang akan dimanfaatkan sebaiknya.
“Dekat rumah ada mak ayah saya. Jadi saya boleh bagi kepada mereka sedikit, saya boleh guna sedikit seperti untuk kegunaan harian seperti makanan sebagainya.
“Saya pun boleh beli seluar dan kasut baru, yang lebih selesa sebab kadang-kadang bawa motosikal kena pakaian yang betul-betul selesa, terutama apabila kita bekerja,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Eddie berkata sepanjang bekerja di pasar, tahun 2020 antara tahun yang mencabar sehingga mereka perlu lebih kreatif mencari jalan untuk menambah pendapatan ekoran terkesan dengan pandemik COVID-19.
Selain menjual di pasar basah, mereka terpaksa mengubah pendekatan jualan dengan membuat penghantaran ke rumah atau premis perniagaan.
“Sewaktu mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memang banyak permintaan, di mana sehari boleh mencecah 70 rumah.
“Kadang-kadang boleh mencecah sampai 120 pesanan. Memang banyak orang buat pesanan sampai kami tak menang tangan sewaktu mula PKP dahulu,” katanya.
Sementara itu, bagi peniaga mee wantan, Akashah Darus, dia akui terkesan apabila pelanggan yang berkunjung ke gerainya semakin kurang berbanding sebelum ini.
Namun dia bersyukur dengan bantuan yang diterima daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya.
“Duit (BPR) yang kami dapat itu boleh menampung perbelanjaan sendiri, termasuk untuk perniagaan bagi buat pusingan modal, beli barang keperluan sebagainya,” ujarnya.
#Belanjawan 2021 #bantuan prihatin rakyat #BPR #Kementerian Kewangan #peniaga #kelangsungan hidup #bantuan tunai 2021 #COVID-19 #pandemik #ekonomi #perintah kawalan pergerakan #PKP
;