Mandulkan anjing dan kucing boleh kurangkan risiko rabies - Doktor veterinar

Astro Awani
Jun 17, 2020 18:05 MYT
Tindakan segelintir pemilik anjing yang enggan haiwan berkenaan diberi suntikan vaksin menyukarkan usaha membendung rabies - Foto: Astro AWANI
Anjing dan kucing terbiar jika tidak dikawal populasinya boleh mengundang pelbagai implikasi antaranya penyakit berbahaya seperti rabies.
Justeru kaedah terbaik adalah dengan mengawal jumlahnya daripada terus meningkat. Antara kaedah yang boleh dilakukan adalah pemandulan.
Pegawai Veterinar Pejabat Perkhidmatan Veterinar Sibu, Dr Ainul Riza Abu Seman menjelaskan usaha ini lebih selamat dan berperikemanusiaan berbanding tindakan menembak atau menangkap untuk dilupuskan.
"Adalah lebih digalakkan untuk memandulkan anjing ataupun kucing supaya populasi anjing dan kucing liar semakin berkurangan di sesuatu tempat.
"Ini kerana lebih banyak anjing yang tidak diketahui status kesihatannya dan sekiranya contohnya tidak divaksin dan mungkin telah dijangkit penyabit rabies," jelasnya
Dr Ainul pada masa sama menegur sikap segelintir pemilik anjing dan kucing yang enggan beri kerjasama dengan pihak berkuasa.
Ini termasuk menyembunyikan haiwan peliharaan mereka ketika kunjungan pasukan veterinar untuk memberi suntikan vaksin.
“Saya berharap anda semua boleh membantu kami memainkan peranan menjadi seorang pemilik anjing yang bertanggungjawab dengan memastikan anjing anda telah divaksin dengan vaksin rabies dan juga co-vaksin," ujarnya.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu turut dikecam orang ramai yang bimbang ia boleh meletakkan nyawa manusia dan haiwan peliharaan lain dalam risiko.
“Tolong jangan terlepas kempen vaksin rabies yang dianjurkan oleh majlis tempatan, ia adalah secara percuma.
Kerajaan kita benar-benar serius dalam membendung dan membasmi rabies, oleh itu kita harus memberikan kerjasama sepenuhnya untuk menvaksinasi anjing kita," rayu Lucy Andar Minjap, seorang pesara dan pemilik haiwan peliharaan.
Antara gejala awal rabies adalah termasuk demam dan kebas di bahagian badan.
Apabila virus merebak ke sistem saraf pusat, keradangan progresif akan berlaku dan boleh mengakibatkan maut.
Untuk rekod sehingga 30 Mac lepas Sarawak merekodkan 23 kes positif rabies sejak ia diisytiharkan sebagai wabak pada 31 Julai 2017.
#anjing #kucing #rabies #Sarawak #Sibu #vaksin
;