Mandi Safar untuk buang sial amalan khurafat - Ahmad Marzuk
Muhafandi Muhamad
November 27, 2021 15:02 MYT
November 27, 2021 15:02 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil seorang ustaz sekiranya perlu, berhubung kuliah agamanya mengenai ‘mandi Safar’ yang tular sejak kelmarin.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu sudah berada dalam pengetahuan dan pemantauan pihak Jabatan Agama Negeri.
Menurut beliau, perbuatan mandi Safar merupakan amalan khurafat yang jelas tertulis dalam Hadis Bukhari dan Muslim
“Tidak ada kesialan berkaitan dengan bulan Safar. Ini adalah antara amalan jahiliah yang kita kena buang, kita kena ubah masyarakat kita supaya tidak menganggap bulan Safar sebagai bulan sial.
“Nabi menegur benda ini (amalan mandi Safar) berlaku sejak zaman jahiliah (pada) zaman Nabi dulu pun dah ada perkara ini… jadi kalau masyarakat kita cuba untuk hidupkan kembali amalan mandi Safar ini, ia seperti kembali kepada zaman jahiliah,” kata Ahmad Marzuk.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada 18 keluarga mangsa kebakaran di Jalan Sultanah zainah di sini, pada Sabtu.
Sejak beberap hari lalu, tular di media sosial kuliah seorang ustaz yang mempunyai hampir 200,000 pengikut dalam talian yang mendakwa mandi Safar pada hari rabu terakhir bulan Islam itu sebagai usaha menolak bala.
Dakwaan itu dibuat ustaz berkenaan dalam kuliahnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya telah mengarahkan Jakim bekerjasama dengan jabatan agama negeri untuk memantau kuliah oleh pemegang tauliah yang bebas mengajar di masjid dan disiarkan melalui media sosial.
Pemantauan itu, tegas beliau, bagi memastikan isi kandungan ceramah berkenaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.