Mandi dua atau tiga gayung sehari untuk jimat air

Rahimah Abdullah
April 11, 2014 20:03 MYT
Puan Rohani Ayob, penghuni Flat Taman Aman Putra, Jinjang. --AstroAWANI
"Kami sekeluarga terpaksa mandi dua atau tiga gayung air sehari untuk menjimatkan air dalam simpanan,"
Itu luahan seorang suri rumah, Rohani Ayob penghuni Flat Taman Aman Putra, Jinjang yang terpaksa mengehadkan penggunaan bekalan air yang disimpan dalam menghadapi catuan air di sekitar Lembah Klang.
Sudah lali dengan gangguan bekalan air sejak kebelakangan ini, ibu kepada dua anak lelaki ini terpaksa menjimatkan penggunaan air yang sudah diisi ke dalam bekas dan tong air sejak awal lagi.
Malah, catuan air yang dilakukan menyebabkan mereka sekeluarga hanya menggunakan air untuk keperluan tertentu sahaja terutama untuk memasak makanan.
"Satu rumah ada empat orang, tak ramai sangat tapi penggunaan air ni macam-macam,"
"Biasa mandi kita jimat-jimat je, kami tak mandi macam dulu. Mandi dua tiga gayung saja sehari," ujar beliau.
Suri rumah ini juga mengakui krisis air yang berlaku banyak mengubah kehidupannya sekeluarga dan mengajar erti berjimat semasa menggunakan air.
"Memang banyak berubah. Macam saya ni baru lepas jalani pembedahan, jadi saya terpaksa masukkan air ke baldi, jadi banyak kerja kena buat. Saya kena berkorban," katanya.
Selepas catuan air juga, aktiviti memasak yang menjadi kegemarannya sejak dulu lagi terpaksa dihadkan dengan menyediakan makanan ala-kadar sahaja.
"Selalunya, nak basuh sayur banyak-banyak takde la lagi, saya tak masak beriya lagi, sebab susah nak basuh sayur semua," jelas beliau.
Rohana berkata, sebagai ibu dan isteri, beliau terpaksa bersikap 'kedekut' dalam penggunaan air simpanan kerana bimbang dengan notis catuan air dikeluarkan pihak SYABAS didakwa tidak menentu dan kadang-kala tidak menepati jadual yang ditetapkan.
"Dekat sini tak menentu, jadi saya terpaksa simpan banyak air, kalau dibuatnya tarikh yang dijadual takde air tu waktu tu ada air, dan bila yang memang jadual takde air tu tiba-tiba takde air juga,"
kata beliau dengan nada kesal.
Justeru, Rohana menasihatkan kepada pengguna agar sentiasa mengambil langkah awal dengan menyimpan bekalan air dan mengamalkan sikap berjimat dalam penggunaan air bersih di rumah.
"Waktu kita ada air tu jimat la, kita simpan dalam bekas, kalau takde bekas pergi beli bekas nak simpan air,kalau tak susah nak dapat air, " tambahnya.
Setakat ini, Syarikat Bekalan Air Selangor, SYABAS dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN telah mengeluarkan notis catuan bekalan air peringkat keempat dan lanjutan tempoh catuan peringkat pertama dan ketiga bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pelan catuan bekalan air peringkat keempat berkuatkuasa 4 April lalu dan dijangka berakhir 30 April ini.
Jadual catuan adalah berdasarkan konsep bergilir-gilir mengikut zon iaitu dua hari mendapat bekalan air, dan dua hari tiada air.
#catuan air #Lembah Klang #Selangor #SYABAS
;