'Mana tahu, dengan derma ini bapa saya masuk syurga'

Hilal Azmi
Oktober 4, 2017 17:56 MYT
SHANTI: Nak buat keputusan tu amat mencabar sebab adik-beradik ayah saya tak setuju dengan cadangan saya.
Tiada kata dapat diungkapkan bagi menggambarkan perasaan K. Shanti saat dia menerima berita tentang kemalangan yang menimpa bapanya suatu ketika dahulu.
Wanita berusia 38 tahun itu mengimbas semula pada sebuah situasi yang meletakkan dirinya antara profesionalisme tugas dan emosi seorang anak yang kehilangan insan tersayang.
Pastinya, semua itu menjadi memori kekal yang terpahat dalam ingatannya.
Mengikut ceritanya, ketika itu Shanti bertugas sebagai koordinator transplan di Pusat Sumber Transplan Nasional.
Tugasnya amat mencabar, iaitu memujuk ahli keluarga mangsa mati otak untuk mendermakan organ kepada yang memerlukan.
Namun kali ini, tugas itu terpaksa dilakukan sendiri apabila bapa kandungnya disahkan mati otak selepas terjatuh di rumahnya dekat Felda Keratong, Pahang.
"Bapa saya berusia lebih 60 tahun ketika itu, dan beliau seorang yang sihat dan tidak pernah dirawat di hospital.
"Selepas terjatuh yang menyebabkan kepalanya parah, doktor mengesahkan beliau meninggal dunia selepas mati otak.
"Nak buat keputusan tu amat mencabar sebab adik-beradik ayah saya tak setuju dengan cadangan saya.
"Tetapi, atas kesedaran yang ada pada saya menyebabkan kami adik-beradik membuat keputusan untuk mendermakan buah pinggang dan hati ayah saya kepada penerima yang memerlukan," katanya.
Shanti berkongsi kisah tersebut di hadapan lebih 200 hadirin yang hadir pada Forum 'Derma Organ: Ada Aku Kisah?,' anjuran Unit Perkhidmatan Transplantasi, Bahagian Perkembangan Perubatan dan Pusat Sumber Transplan Nasional, Putrajaya pada Rabu.
Menurutnya lagi, bapanya tidak pernah berikrar sebagai penderma organ, tetapi pernah menyuarakan hasrat tersebut sebelum ini.
"Bapa saya pernah memberitahu saya bahawa dia tidak kisah untuk mendermakan organnya selepas meninggal dunia.
"Saya akui, memang perasaan takut itu ada, tetapi saya percaya keputusan ini (untuk mendermakan organ) bukan sesuatu yang memudaratkan.
"Ya, itu memang stigma yang ada dalam masyarakat kita, tetapi inilah yang perlu kita hadapi bagi membantu orang lain kerana agama sekalipun tidak menghalang sebarang tindakan menderma organ," katanya lagi.
Perkongsian Shanti kepada hadirin beberapa kali terhenti sementara kerana dia cuba menahan perasaan pilunya. Adakalanya dia teresak-esak, namun dia meneruskannya.
Shanti menegaskan, dia dan ahli keluarganya turut mengambil keputusan untuk tidak mahu mengetahui identiti penerima organ yang didermakan bapanya.
"Kami ikhlas mahu menderma, tetapi kami hanya dapat makluman ada dua individu yang menerima sebahagian hati dan buah pinggang bapa saya.
"Dari pendermaan tersebut, saya baru tahu bahawa mendiang bapa saya selama ini hanya hidup dengan satu buah pinggang.
"Malah, ketika melihat wajah bapa saya buat kali terakhir, ia seakan-akan bercahaya dan berseri serta seolah-olah seperti sedang senyum.
"Saya amat bersyukur. Mana tahu, dengan derma ini bapa saya masuk syurga," katanya yang kini pengajar jururawat di Kolej Kesihatan Bersekutu Sungai Buloh.
#derma organ #K Shanti #Kolej Kesihatan Bersekutu Sungai Buloh #Pengalaman Derma Organ #Putrajaya
;