Mana perginya Wan Mohd Hadi? Lelaki menghidap skizofrenia hilang

Fareez Azman
April 27, 2022 13:32 MYT
Lebih meruntun jiwa, Wan Mohd Hadi telah membeli persiapan bagi meraikan Syawal sebelum dilaporkan hilang.- Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lebih tiga bulan seorang lelaki yang menghidap skizofrenia (kecelaruan mental), Wan Mohd Hadi Wan Ismail, 41, dilaporkan hilang di Sungai Kandis, Shah Alam.
Pencarian demi pencarian dilakukan sejak 26 Januari lalu bagi menjejakinya, namun menemui jalan buntu.
Bagi ahli keluarganya, doa dan harapan tidak pernah putus agar Wan Mohd Hadi pulang ke pangkuan mereka apatah lagi kehilangannya amat dirasai menjelang Aidilfitri.
Astro AWANI ke rumah Wan Ismail Abdullah, 74 tahun, bapa kepada Wan Mohd Hadi di Alam Impian Shah Alam baru baru ini bagi mengetahui perkembangan pencarian.
Kali terakhir beliau melihat anaknya pada 26 Januari lalu ketika beliau dan seorang lagi anaknya menumpangkan Wan Mohd Hadi pada waktu pagi berhampiran Sungai Kandis.
Menceritakan kisah adiknya, Wan Azman Wan Ismail, 46, berkata dia tidak pernah terlintas di fikirannya dengan menumpangkan Wan Mohd Hadi ke satu kawasan berhampiran Sungai Kandis merupakan detik terakhir dia bersama adiknya.
"Dia (Hadi) dah bagi tahu sebelum itu dia nak balik, dia bagi tahu ayah saya dan saya ada sekali. Masa itu dia keluar, saya sempat jumpa terserempak (di Sungai Kandis), dia suruh saya drop (turunkan) dia Sungai Kandis tepi jalan.
"Selepas itu dia kata, dia akan contact (hubungi) balik dan balik semula ke rumah. Jadi kita (keluarga) berharap biasa dia balik, tapi dia keluar Selasa malam 2.30 pagi, hari Khamis saya hubungi dia tidak angkat, pada Jumaat saya buat laporan polis," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Sejak detik terbabit, sosok Wan Mohd Hadi tidak lagi kelihatan.
Pencarian dikerahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga ke kawasan sungai berhampiran lokasi namun tidak menemui sebarang petunjuk dimanakah Wan Mohd Hadi.
Wan Mohd Hadi menghidap skizofrenia sejak belasan tahun lagi, hidupnya bagaimanapun normal seperti biasa di bawah pengawasan keluarganya.
Kali terakhir dia dilihat memakai baju lengan panjang berwarna putih dan seluar hitam, serta menggalas beg berwarna merah.
Ketika ini, khabar beritanya sepi, harapan keluarga tidak pernah putus agar Wan Mohd Hadi akan kembali ke pangkuan keluarga.
Mencari Hadi | Tiga bulan lelaki skizofrenia gagal dikesan
"Saya pun tidak tahu apa nak cakap, kita berharap dia dapat sedar kalau tidak banyak pun sedikit sedar dan beritahu sesiapa yang jaga dia atau bersama dengan dia mengenai keadaan dia.
"Dulu pernah dia telefon abang dia (bila hilang), dan abang dia pergi ambil dia. Kita berharap dia sedar dan boleh beritahu orang sekeliling dia tentang nombor telefon, siapa patut telefon beritahu dia ada di mana-mana," jelas Wan Ismail.
Tambah Wan Ismail, sudah banyak ikhtiar dilakukan dan usaha pencarian sekitar kawasan Shah Alam dengan bantuan orang ramai dan netizen di laman sosial.
Ketika telefon bimbit Wan Mohd Hadi masih boleh dihubungi, panggilan terus dibuat ahli keluarga namun tidak berangkat sehinggalah tiada lagi deringan dapat didengar.
Mungkin telefon bimbitnya telah kehabisan bateri, namun ke mana arah Wan Mohd Hadi ketika terakhir dijumpai?
Lokasi terakhir abang dan bapanya melihat Wan Mohd Hadi berjalan di kawasan berhampiran ladang kelapa sawit.
"Dikirakan memang kita rasa gelisah, kita rasa memang terganggu, cuma saya ambil langkah untuk lebih tenang dan serah kepada tuhan mengenai keadaan Wan Mohd Hadi ketika ini.
"Kita banyak doa supaya diberi jalan untuk mengatasi hal ini, dan mengharapkan agar kita lebih tabah," kata Wan Ismail lagi.
Ramadan hampir sampai ke penghujungnya, Syawal pula menanti. Besar harapan keluarga agar Wan Mohd Hadi selamat dan dapat meraikan Aidilfitri bersama.
Lebih meruntun jiwa, Wan Mohd Hadi telah membeli persiapan bagi meraikan Syawal sebelum dilaporkan hilang.
Hanya yang tinggal ketika ini, baju Melayu, dompet serta jam tangan miliknya yang setiap hari menjadi pelepas rindu keluarganya.
"Kalau jumpa adik saya boleh hubungi kami dengan segera mudah-mudahan, Raya pun nak dekat.
"Ini pertama kali kami jalani ibadah puasa tanpa dia, harap raya ini dapat raya sekali. Harapan dia balik secepat mungkin," ujar Wan Azman.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan Wan Mohd Hadi diminta menghubungi talian tertera.
Wan Azman: 013-6071171 / Wan Mahani: 014-8408410 atau Balai Polis berhampiran.
#Wan Mohd Hadi #hilang #skizofrenia #keluarga
;