Mana datangnya RM2 bilion untuk 1MDB bayar hutang? - Khairuddin
Wan Syamsul Amly
Februari 14, 2015 11:55 MYT
Februari 14, 2015 11:55 MYT
1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta menjelaskan secara terperinci dari sumber manakah mereka menggunakan wang RM2 bilion untuk membayar hutang bank tempatan sekali gus lebih awal daripada tarikh akhir mengikut syarat perjanjian.
Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, rakyat negara kini benar-benar mahu tahu 'asal usul' wang itu dan apa kedudukan sebenar syarikat yang mencetus kontroversi negara ini.
"Adakah 1MDB menggunakan sebahagian daripada wang yang telah ditebus dari akaun pelaburan di Kepulauan Cayman ataupun adakah 1MDB pinjam dari mana-mana sumber kewangan yang lain?
"Seandainya 1MDB terpaksa berhutang untuk bayar hutang, maka persoalannya di sini adalah di manakah hilangnya duit pelaburan 1MDB yang berjumlah berbilion ringgit?" katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Khairuddin mengulas kenyataan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda pada Jumaat yang memaklumkan bahawa syarikat itu telah melangsaikan pinjaman sebanyak RM2 bilion oleh anak syarikat operasinya kepada bank Malaysia.
Kata Arul lagi, pinjaman tersebut sudah diselesaikan lebih awal daripada tarikh akhir mengikut setiap syarat perjanjian kemudahan pinjaman.
Khairuddin sebelum ini membuat laporan polis dan meminta siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.
Tindakan Khairuddin dilihat turut mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang turut menyatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat 1MDB berkaitan pelaburan sebanyak RM8.3 bilion yang dilaburkan di Kepulauan Cayman.
Kata Khairuddin, Arul dan keseluruhan lembaga pengarah 1MDB juga masih belum menjawab persoalan di manakah jumlah wang pelaburan yang dikatakan telah ditebus dari Kepulauan Cayman berjumlah RM8.3 bilion berada kini.
"1MDB mesti bersikap telus dan mereka mesti memberi penjelasan secara terperinci kepada rakyat memandangkan ini adalah wang kerajaan yang secara tidak langsung juga wang rakyat selaku pembayar cukai.
"1MDB harus belajar bersikap telus dalam pentadbiran dan perbelanjaan dana mereka," ujarnya.
Tegasnya, seandainya 1MDB gagal, ia bakal memberi kesan buruk secara langsung kepada sistem ekonomi negara, sekali gus bakal membebankan kerajaan mahupun rakyat secara menyeluruh.
Isu 1MDB menjadi hangat setelah syarikat yang milik penuh kerajaan itu dikatakan mengalami kerugian hampir RM38 bilion.
Ia turut mendapat kritikan pelbagai bukan sahaja dari pembangkang malah dari tiga mantan Menteri Kewangan iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tun Daim Zainuddin.
Bagaimanapun 1MDB telah memberi jaminan bahawa semua pelaburannya diurus secara berhemat dan profesional, dan dalam keadaan baik untuk membayar semua hutang.