Man on the Run: 'Serahkan pada mahkamah' - Fahmi

Ridauddin Daud
Januari 24, 2024 17:21 MYT
Fahmi berkata keputusan itu berdasarkan nasihat diterima daripada Peguam Negara dan bahagian undang-undang kementerian, serta SKMM. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung permohonan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak agar kerajaan mengarahkan Netflix menurunkan dokumentari “Man on the Run” dari platform penstriman itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu berdasarkan nasihat diterima daripada Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Salleh dan bahagian undang-undang kementerian serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Secara faktanya, filem tersebut ditayangkan di pawagam pada Oktober tahun lalu dan pada waktu itu Lembaga Penapisan Filem (LPF) beri kelulusan dan tak berlaku isu sewaktu ditayangkan di khalayak umum pada Oktober tahun lalu.
“Memandangkan ini perkara yang telah dizahirkan dalam mahkamah, maka kita perlu rujuk sebarang perkara kepada mahkamah.
“Kita tidak boleh dahului proses... serahkan pada mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di bangunan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Rabu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, Fahmi menegaskan penubuhan itu adalah penting dan mustahak.
"Berdasarkan perbincangan dalam jemaah menteri, ia adalah satu perkara yang disifatkan penting dan mustahak kerana melibatkan sempadan yang menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.
Jelas Fahmi, cadangan anggota RCI ini akan dipersembahkan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum diumumkan kepada rakyat.
#Fahmi Fadzil #Najib Razak #Man on the run #dokumentari Netflix
;