RAMAI yang beranggapan bahawa ‘talian hayat’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah pendek, sama seperti yang dialami kerajaan Pakatan Harapan (PH), malah akan tersungkur selepas sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen November ini kerana dijangka dan dikatakan tidak mudah memperolehi sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Andaian tersebut bertambah hangat apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu menarik diri daripada PN tetapi akan terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Selain itu, pengumuman bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah lagi parti politik Melayu baharu yang tidak terikat baik dengan PH mahupun PN bukan sahaja menambahkan rencah dalam situasi sedia ada, malah menimbulkan ketidaktentuan politik negara.

Pergolakan dan perkembangan politik semasa turut menguatkan andaian rakyat kononnya pilihan raya mengejut (snap election) akan diadakan pada masa yang terdekat.


Tidak terkejut

Namun begitu, soal ketidaktentuan politik ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan buat rakyat Malaysia.

Rakyat sudah menyaksikan pelbagai kisah politik yang menarik, termasuk peristiwa peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan diikuti pula dengan tindakan Bersatu keluar daripada PH telah menyebabkan tumbangnya kerajaan PH pada 24 Februari 2020.

Ia disusuli dengan penubuhan kerajaan baharu, PN pada 1 Mac 2020 dengan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, lanskap politik negara terus diwarnai dengan isu usul tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Namun, usul tidak percaya tersebut tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan PN bertindak bijak dengan menukar Speaker Dewan Rakyat. Tindakan Muhyiddin yang menukar Speaker Dewan Rakyat berjaya mematahkan usaha Dr Mahathir untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan beliau.

Meskipun Muhyiddin berjaya dalam isu undi tidak percaya, namun beliau masih terus dibayangi dengan satu lagi cabaran penting iaitu Belanjawan 2021.

Banyak pihak berpendapat bahawa kelulusan Belanjawan 2021 berkait rapat dengan soal hidup atau mati kerajaan PN.

Meskipun dari segi konvensionalnya, kelulusan belanjawan 2021 dilihat sebagai ciri penting bagi menunjukkan kekuatan kerajaan PN, namun ada yang mendakwa bahawa ketiadaan sokongan terhadap Belanjawan 2021 bukanlah bermakna majoriti Ahli Parlimen sudah tidak mempunyai kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Mereka mendakwa pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 ini bukanlah seperti usul tidak percaya dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi yang mengukur sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Persoalannya, adakah Muhyiddin akan berjaya melepasi cabaran untuk meraih kelulusan terhadap Belanjawan 2021 yang julung kali dibentangkan oleh kerajaan kepimpinan beliau?

Keputusan sama ada belanjawan tersebut diterima atau ditolak tidak dapat dipastikan sepenuhnya, memandangkan sewaktu pemilihan Speaker Dewan Rakyat baharu, keputusan mendapati kerajaan PN hanya meraih sokongan 111 Ahli Parlimen, manakala PH pula meraih sokongan 109 Ahli Parlimen.

Kedudukan peratus sokongan yang hampir setara antara kedua-dua blok ini jelas membayangkan bahawa kedudukan kerajaan PN seperti telur di hujung tanduk.

Dengan keadaan sebegini, adakah Muhyiddin mampu melepasi halangan untuk mendapat kelulusan bagi Belanjawan 2021 dengan mudah?




Politik strategik

Namun, ada pihak yang berpendapat bahawa Muhyiddin dijangka melangkaui cabaran Belanjawan 2021 dengan mengambil beberapa tindakan politik yang strategik.

Sejarah menunjukkan bahawa kepimpinan parti memerintah di beberapa negara luar terutamanya di United Kingdom, India dan Itali yang mengadapi situasi hampir sama telah mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen daripada barisan pembangkang untuk memastikan kelulusan Bajet negara masing-masing.

Apakah Belanjawan 2021 Kerajaan PN yang dijangka menekankan isu prihatin rakyat tidak mendapat sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen pembangkang untuk mencukupkan bilangan yang diperlukan dalam menjamin kelulusan Belanjawan 2021?

Muhyiddin pasti akan bijak mengatur strategi politik yang mampu membantu kerajaan PN melangkaui cabaran Belanjawan 2021 dengan jayanya.

Dengan langkah ini, maka kemungkinan mengadakan pilihan raya mengejut seperti di uar-uarkan akan lenyap dengan sendirinya dari pentas politik negara.

Dalam pada itu, langkah Muhyiddin memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi (Bantuan Prihatin Nasional) untuk meringankan beban rakyat apabila negara dilanda pandemik COVID-19 telah meningkatkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau.

Langkah-langkah pengukuhan ekonomi Muhyiddin mewujudkan imej baharu Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang prihatin dan berjiwa rakyat.

Dalam konteks ini, adakah pengumuman parti baharu untuk mewakili orang Melayu akan menyebabkan berlakunya kemerosotan sokongan Melayu terhadap kepimpinan Muhyiddin?

Menurut tokoh warisan dan kebudayaan Melayu, Tan Sri Dr Rais Yatim, penubuhan parti baharu tersebut akan memecah-belahkan penyatuan orang Melayu.

Muhyiddin, selaku seorang pemimpin politik yang bijak tidak akan mengenepikan gelombang sentimen orang Melayu yang kuat menyokong Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan dengan berpaksikan penyatuan bangsa itu dalam medan politik negara.

Malah, sebahagian besar orang India yang menyokong PH pada PRU14 kini bukan sahaja menolak PH, sebaliknya kembali menyokong MIC di bawah kepimpinan Tan Sri SA.Vigneswaran.

Apapun, sekiranya berlaku PRU15 dalam masa yang terdekat seperti diuar-uarkan, maka sokongan pengundi India kepada MN yang disertai UMNO di dalam BN akan menjadi pelengkap kepada kehilangan jumlah undi Melayu kesan akibat penubuhan parti baharu Dr Mahathir sendiri.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.