Mampukah 2024 noktah kemelut kebajikan penggiat seni?
Bernama
Mac 30, 2024 06:20 MYT
Mac 30, 2024 06:20 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah sekian lama, isu kebajikan penggiat seni hiburan negara sehingga ke hari ini masih belum menampakkan jalan penyelesaian.
Namun, awal tahun ini dilihat seolah-olah memberi 'isyarat' jelas rintihan mereka didengari menerusi komitmen pihak berkaitan.
Apakah benar dan ini yang dikupas dalam bahagian satu polemik kebajikan penggiat seni hiburan tanah air.
Apakah mungkin tahun 2024 bakal menitik noktahkan kemelut kebajikan penggiat seni termasuk perihal kerja lebih masa atau tidak menentu yang sudah lama berakar umbi dalam industri kreatif ini, sekali gus menyuntik pembaharuan kesejahteraan dalam kerjaya berkenaan?
Hakikatnya, isu yang melibatkan hiburan tanah air sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan dan harapan dalam kalangan penggiat bidang berkenaan khususnya kalangan artis, pelakon mahupun belakang tabir seperti kru untuk melihat keberkesanan usaha dalam mengangkat kebajikan mereka.
Harapan yang disandarkan itu susulan komitmen Kementerian Komunikasi sebelum ini, antaranya mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meneliti isu gaji pelakon kanak-kanak, kebajikan artis veteran mahupun budaya 'melunyai' pekerja.
Bekerja sehingga 20 jam sehari pernah hangat diperkatakan sebelum ini dalam kalangan penggiat seni termasuklah aktor Sharnaaz Ahmad mahupun Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang mendesak keperluan untuk menoktahi budaya jadual penggembaraan tidak menentu.
Kerana itu, kebanyakan penggiat seni yang ditemu ramah Bernama ingin melihat pelaksanaan kontrak standard oleh FINAS yang dikatakan bakal dilaksanakan tahun ini akan menjadi titik penyelesaian kepada polemik budaya 'melunyai' yang sudah lama membelenggu industri.
Biarpun begitu, diharapkan terma kontrak standard berkenaan perlulah melibatkan perbincangan dengan keseluruhan ekosistem industri hiburan merangkumi stesen televisyen, syarikat penerbitan dan pekerja belakang tabir supaya adil, kata Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia Datuk Jurey Latiff Rosli.
"Ada pelbagai isu besar industri yang tidak diselesaikan antaranya, artis datang lambat, ambil kerja bertindih, penerbit tidak bayar artis, kru 'dilenjan' di set dan banyak lagi isu yang berlarutan sekian lama...Inilah hakikat sebenar industri yang perlu diberikan perhatian.
"Berapa lama lagi industri perlu lalui segala caca marba dan ketidakadilan akibat ketidaksempurnaan sistem? Kami mahu Finas, yang menjadi orang tengah dapat berlaku adil dalam menyelesaikan semua perkara berbangkit dan ia perlu dibuat bermula daripada akar umbinya," katanya kepada Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib pada awal Februari dipetik berkata kontrak standard itu akan mengandungi klausa terperinci berhubung isu kerja lebih masa bertujuan menyelesaikan konflik berkenaan dan perkara berbangkit lain berkaitan dengan kebajikan pekerja belakang tabir.
Biarpun begitu, kontrak standard itu tidak hanya menoktahi budaya 'lenyai' pekerja dengan jadual pengembaraan tidak menentu, akan tetapi juga penting bagi mengelakkan pekerja industri ditipu, menurut pandangan sutradara prolifik Datuk Prof A Razak Mohaideen.
"Kontrak standard meliputi cara pembayaran, berapa bayaran, tugas perlu dilakukan dan bila bayaran dibayar. Maknanya, apabila kontrak ditandatangani termasuk kerja berapa jam satu hari dan sebagainya, tidak akan timbul masalah di kemudian hari sebab kontrak itu jelas," katanya.
Selain pensyarah di Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini turut melihat kontrak standard itu dapat menghentikan penindasan kepada pelakon baharu dan kurang popular dalam perihal bayaran tidak berpatutan apabila mereka dianaktirikan berbanding pelakon terkenal.
Sememangnya, polemik kerja lebih masa tidak boleh dipandang enteng kerana ia mampu membuatkan seseorang itu gagal mengawal sifat amarahnya sekiranya berlarutan dalam tempoh lama sehingga menjejaskan hubungan sosial dengan keluarga, rakan.
Mengulasnya, pakar sosial Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata ini berlaku apabila seseorang itu terlampau letih bekerja sehingga mencetuskan pelbagai fikiran negatif.
"Sesetengah orang tidak pandai kawal emosi dan dia akan melepaskan masalah dihadapi kepada keluarga dan orang sekeliling... Emosi mereka pun boleh tertekan selain individu terbabit akan jadi kurang produktif," katanya sambil menambah sudah tiba masa kontrak standard itu dilaksanakan segera.
-- BERNAMA