Mamat Exists didakwa ambil, miliki dadah
Sinar Harian
Januari 23, 2024 14:28 MYT
Januari 23, 2024 14:28 MYT
JOHOR BAHRU: Bekas vokalis kumpulan rock Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Majistret di sini pada Selasa atas dua pertuduhan memiliki serta mengambil dadah pada 2019.
Tertuduh yang lebih dikenali sebagai Mamat Exists bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Fatimah Zahari dan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, pelantun lagu Untukmu Ibu itu didakwa memberi dadah kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine pada jam 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
Mamat juga mempunyai kesalahan berulang memberikan dadah kepada diri sendiri pada 2016 dan 2018.
Pendakwaan dibuat di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39C (1) (b) akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil manakala Mamat diwakili peguam Azlina Abdul Aziz.
Bagi pertuduhan kedua, Mamat didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat 0.17 gram pada 8 September 2019 pada jam 11.35 malam di Taman Perling.
Pertuduhan kedua dibuat dibawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 12 (3) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei dan Mamat diwakili peguam sama.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen, peguam mewakili tertuduh memohon anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Fatimah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 22 Februari ini untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan. - Sinar Harian