"Mama jangan risau, selepas tahanan papa selesaikan semua" - Luahan terakhir anggota TLDM

Bernama
September 30, 2017 17:36 MYT
Isteri kepada salah seorang anggota TLDM yang meninggal dunia, Mohd Baihaqy Nik Mat, Noor Bazlin Mohammad kelihatan sugul ketika menunggu jenazah suaminya di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini. - Foto Bernama
"Mama jangan risau, selepas tahanan papa selesaikan semua (berhenti kerja)," itu luahan terakhir Allahyarham LK 1 PNK Nik Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, kepada isterinya Noor Bazlin Mohammad.
Noor Bazlin, 28, berkata sebelum ini suaminya yang bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di bahagian Paskal mulai 2015 pernah menyatakan mahu berhenti kerja dan merancang untuk menjalankan perniagaan.
Jururawat di Klinik Kesihatan Dato' Keramat di Kuala Lumpur itu berkata sebelum memasuki bilik tahanan suami menghubunginya dengan menggunakan telefon pengiring dengan memberitahu dia ditahan atas kesalahan lewat hadir ke tempat kerja buat kali kedua.
Menurutnya dia turut menerima panggilan daripada seorang pegawai TLDM pada malam Rabu yang mengatakan suaminya akan ditahan.
"Selepas mendapat tahu hal itu saya berasa risau dan tidak sampai tiga hari dia ditahan saya mendapat berita pemergiannya," katanya dengan sebak ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Menurut kenyataan TLDM hari ini, Nik Mohd Baihaqy dan LK I TLS Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan semalam.
Menurutnya ketika menjalani latihan tersebut, anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum kedua-dua anggota disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.
Punca sebenar kematian itu masih dalam siasatan polis dan pihak TLDM akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi mencari punca sebenar kejadian, menurut kenyataan itu .
Ibu kepada tiga orang anak berusia empat ingga 10 bulan itu berkata dia mendapat berita tentang kematian suaminya pada 5.30 petang semalam daripada seorang pegawai TLDM yang menghubunginya.
"Saya reda atas kematiannya, namun saya tidak akan berdiam diri jika kejadian itu ada berlaku unsur jenayah," katanya sambil menambah suaminya telah berkhidmat dalam TLDM selama sembilan tahun.
Noor Bazlin berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan bersebelahan kubur bapanya yang meninggal dunia dua bulan lalu.-- BERNAMA
#ik Mohd Baihaqy Nik Mat #jenazah #Malaysia #meninggal dunia #Muhammad Lailatulman Mohd Sukri #siasatan #Tahanan #tentera #TLDM
;