Malu rakyat Malaysia masih belum kuasai bahasa Melayu - Zambry

Bernama
Disember 2, 2017 06:04 MYT
Zambry berkata jika orang asing berlumba menguasai bahasa kebangsaan, tetapi amat menyedihkan apabila anak tempatan masih gagal bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu. -Gambar fail
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan rakyat Malaysia yang masih belum menguasai Bahasa Melayu sebagai sesuatu yang memalukan.
Beliau berkata jika orang asing berlumba menguasai bahasa kebangsaan, tetapi amat menyedihkan apabila anak tempatan masih gagal bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu.
Perkara itu disuarakan Zambry selepas kagum melihat salah seorang permakalah (pembentang) yang merupakan warga Jepun, Tadashi Ikeda, membuat pembentangan dalam Bahasa Melayu di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) Pangkor edisi kelapan di sini hari ini.
"Bagi mereka yang belum menguasai Bahasa Melayu atau tak mahu menguasai bahasa kebangsaan walaupun dia rakyat Malaysia agak memalukan.
"Walaupun Tadashi baharu mempelajari Bahasa Melayu dalam masa lima tahun, namun beliau boleh membuat pembentangan dalam Bahasa Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman sempena Pulara Pangkor 2017 edisi kelapan di Pulau Pangkor, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai impak daripada penganjuran Pulara kali ini, Zambry berkata terdapat beberapa resolusi dicadangkan oleh permakalah yang amat praktikal dan akan dilaksanakan.
Antaranya menjadikan Pulau Pangkor sebagai Pulau Buku selain meminta kerajaan negeri menghimpunkan koleksi bahasa irama dan memanfaatkan pendekatan kajian geo-linguistik bagi memperluaskan kajian dialek Perak, katanya.
"Saya melihat resolusi-resolusi itu amat praktikal kerana pembentang melihat dari aspek bagaimana dapat melaksanakan dasar-dasar bahasa dalam konteks negeri dan idea-idea inilah yang ingin kita garap dan laksanakan secara bersama," katanya.
Sementara itu, Tadashi, 69, berkata dia sangat meminati Bahasa Melayu dan sanggup berhijrah ke Malaysia bersama isterinya, Eko Ikesa, 67, sejak 2013 dan mempelajari bahasa kebangsaan itu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan The Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL).
"Saya seronok mempelajari bahasa Melayu kerana ada beberapa perkataannya hampir sama dengan bahasa Jepun dan ayat pertama yang saya pandai sebut adalah 'makanan sedap' dan dalam masa tiga tahun saya sudah boleh bertutur dalam bahasa ini.
"Namun, semangat saya sentiasa berkobar-kobar untuk menguasai bahasa ini kerana ia sangat unik dan saya mahu orang Malaysia bangga dengan bahasa ini," katanya yang kini menetap di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Tadeshi berkata dia berasa terharu dan seronok kerana dapat melibatkan diri dalam Pulara 2017 kali ini dan menganggapnya sebagai salah satu pencapaian terbaik ketika berada di negara ini bagi mempelajari Bahasa Melayu.
"Ini adalah pentas menarik yang boleh meningkatkan ilmu saya dalam bahasa Melayu selain menambah kawan yang aktif dalam bidang sastera dan bahasa.
"Apabila pulang ke Jepun nanti saya mahu membantu pelancong Malaysia yang datang ke sana supaya lebih mudah kepada mereka," katanya.
Pulara 2017 yang bermula Khamis lalu sehingga Ahad ini merupakan anjuran kerajaan negeri menerusi Tourism Perak dengan kerjasama Yayasan Kampung Karyawan Malim dan ia menghimpunkan 200 peserta dari 14 negara.
-- BERNAMA
#Bahasa Melayu #Jepun #Kuala Lumpur #Melayu #Menteri Besar #rakyat Malaysia #Zambry Abd Kadir
;