Malu, negara makmur hujan tapi catu air, kata NGO
T K Letchumy Tamboo
Februari 25, 2014 08:23 MYT
Februari 25, 2014 08:23 MYT
Langkah catuan air seharusnya tidak berlaku di negara ini yang sememangnya diketahui sering dilanda hujan lebat hampir setiap hari.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) , S. Piarapakaran berkata kegagalan merancang di pihak kerajaan khususnya berkaitan pengurusan air telah menjurus kepada masalah yang dihadapi ketika ini.
“Sedari awal tamadun manusia lagi, ketika tiada teknologi yang canggih, manusia telah dapat menjangka bila musim kemarau dan kering akan tiba, dan mereka telah membina empangan untuk mengatasinya.
“Sekiranya mereka di zaman itu boleh melakukannya, kegagalan (untuk mengatasinya) ketika ini dimana teknologi telah maju, adalah sesuatu yang memalukan,”katanya kepada Astro AWANI.
Piarapakaran berkata sebahagian daripada punca masalah yang dihadapi ketika ini adalah aktiviti penebangan hutan yang menyumbang kepada keadaan cuaca semasa.
“Air dari hutan ini akan diserap ke udara dan mencetuskan hujan semulajadi dan airnya mengalir ke sungai-sungai.
“Apabila kita menebang hutan, ia tidak dilakukan sepenuhnya. Ia umpama memotong sebahagian dari tubuh kita. Ia tidak dilakukan sepenuhnya. Apabila hutan ditebang, ia secara langsung mengganggu kitaran sumber air,” katanya.
Beliau menambah, antara tindakan yang seharusnya diambil dengan serta merta adalah semua kerajaan negeri harus mewartakan kawasan tadahan air (termasuk hutan,sungai dan tasik) sebagai kawasan rizab kekal menjelang 2015.
“Perkara ini juga harus mengambil kira keperluan air mentah di masa akan datang. Tiada aktiviti manusia yang seharusnya dibenarkan di kawasan yang telah digazetkan, termasuk aktiviti rekreasi. Dengan populasi semakin bertambah, permintaan untuk air turut meningkat.
“Ini juga bermakna adalah perlu diwartakan lebih banyak kawasan tadahan air bersesuaian dengan meningkatnya populasi, sekaligus memastikan bekalan air mentah mencukupi,” katanya.
Piarapakaran berkata, kegagalan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan akan mengakibatkan situasi semakin parah termasuk meningkatnya kadar jenayah ekoran akan ada pihak yang sanggup bergaduh untuk mendapatkan sumber air.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada Isnin mengumumkan yang negeri itu akan memulakan catuan air bermula Selasa di kawasan yang menghadapi gangguan air sejak 7 Februari lalu.
Catuan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berselang dua hari sekali.
Selain itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut merancang untuk mengadakan catuan di beberapa kawasan negeri itu termasuk Tampin dan Rembau setelah paras air di Empangan Gemencheh terus mencatatkan penurunan.