Malindo Air patah balik: Kementerian tunggu laporan DCA

Rahimah Abdullah
Julai 3, 2017 19:55 MYT
Dalam kejadian 25 Jun lalu, pesawat Malindo Air dari Lahore, Pakistan ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Delhi, India kerana masalah enjin. - Gambar fail
Kementerian Pengangkutan masih menunggu laporan siasatan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berhubung dua insiden melibatkan pesawat Malindo Air ke Kuala Lumpur yang berpatah balik ke Dhaka dan sebuah lagi dilencongkan ke Delhi, Jun lalu.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan.
Katanya, laporan siasatan itu penting dalam usaha memastikan keselamatan penumpang diutamakan.
"Memang kita memandang berat tentang isu Malindo Air ini.
"Apa juga faktor yang menyebabkan pendaratan kecemasan itu, saya telah arahkan pihak DCA dan bahagian siasatan kemalangan udara untuk membuat pemeriksaan serta menghantar laporan kepada saya.
"Kita juga tunggu laporan itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan 10 Tahun Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) di sini hari ini.
Ketika ini katanya, beliau belum mendapat laporan penuh berhubung kedua-dua insiden itu.
"Pastinya keselamatan penumpang adalah diutamakan. Sekiranya ada apa-apa (masalah) teknikal, seperti AirAsia (sebelum ini) yang disebabkan masalah teknikal pada enjin, mereka terpaksa berpatah balik, itu kita kena kemukakan siasatan kemudian. Saya belum dapat lagi hasil siasatan sepenuhnya," ujarnya lagi.
Dalam kejadian 25 Jun lalu, pesawat Malindo Air dari Lahore, Pakistan ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Delhi, India kerana masalah enjin.
Manakala pada 27 Jun, pesawat Malindo Air dalam perjalanan dari Dhaka, Bangladesh ke Kuala lumpur berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal berikutan cermin depan retak.
#DCA #Jabatan Penerbangan Awam #laporan penuh #Liow Tiong Lai #Malindo Air #Siasat
;