Malindo Air ke Adelaide mulai bulan depan

Bernama
Mac 21, 2019 22:51 MYT
Adelaide merupakan destinasi keempat dalam rangkaian penerbangan Malindo Air di Australia selepas Perth, Brisbane dan Melbourne selain menjadi destinasi ke-56 yang meliputi 17 negara.
Malindo Air akan memulakan penerbangan empat kali seminggu ke destinasi terbaharu, Adelaide, Australia, pada 16 April depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata Adelaide merupakan destinasi keempat dalam rangkaian penerbangan syarikat itu di Australia selepas Perth, Brisbane dan Melbourne selain menjadi destinasi ke-56 yang meliputi 17 negara.
"Bagi Adelaide misalnya, kami menyasarkan (ia menjadi pilihan) kalangan pengembara bagi tujuan perniagaan, santai dan mengunjungi keluarga dan saudara.
"Malah, kami turut meneliti kemungkinan menambah kekerapan penerbangan pada masa depan sekali gus meningkatkan aliran penumpang di lapangan terbang serta menggalakkan pelancongan tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Malindo akan menggunakan pesawat jenis Boeing 737-800/900 yang menawarkan 12 kelas perniagaan dan 150/168 tempat duduk kelas ekonomi bagi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur setiap Ahad, Selasa, Khamis dan Sabtu.
Tempahan penerbangan itu yang kini menawarkan tambang promosi sehala RM679 untuk kelas ekonomi dan RM2,399 bagi kelas perniagaan boleh dibuat menerusi laman sesawang www.malindoair.com selain kaunter tiket, pusat khidmat pelanggan dan agensi pelancongan terpilih.
-- BERNAMA
#Adelaide #Boeing 737-800 900 #chandran rama muthy #destinasi terbaharu #Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #Malindo Air
;