Malim gunung meninggal dunia di puncak Gunung Hitam
Bernama
Jun 1, 2024 21:52 MYT
Jun 1, 2024 21:52 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang malim gunung maut selepas tiba-tiba rebah ketika sampai di puncak Gunung Hitam, Hulu Langat dekat sini hari ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Norfazli Abd Aziz, 57, disahkan meninggal dunia pada jam 5.50 petang tadi oleh pegawai perubatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.48 pagi.
"Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussien Onn dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam dikerah ke lokasi berkenaan.
"Kumpulan penyelamat yang dibahagikan kepada pasukan penyelamat, perubatan dan pasukan sokongan mengambil masa empat jam untuk sampai ke puncak gunung berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya semasa pasukan penyelamat tiba pada jam 4.30 petang mendapati Norfazli tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas dan pasukan penyelamat melakukan rawatan kecemasan.
"Usaha bagi membawa mangsa keluar dari kawasan dilakukan. Namun ketika usaha membawa turun dilakukan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM pada jam 5.50 petang," katanya.
Katanya operasi membawa turun mayat mangsa masih sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada jam10 malam ini bagi diserahkan kepada KKM bagi tindakan lanjut.
-- BERNAMA