Malim gunung Joseph Selungin jadikan tubuh sebagai perisai kepada dua pendaki

Astro Awani
Jun 8, 2015 15:55 MYT
Seorang lagi mangsa gempa bumi di Sabah dikenalpasti hari ini. Joseph Selungin, 33 merupakan jurupandu gunung bersama Amazing Borneo.
Seorang lagi mangsa gempa bumi di Sabah dikenal pasti hari ini. Joseph Selungin yang berusia 33 tahun merupakan jurupandu gunung bersama Amazing Borneo.
Berita menyedihkan itu disahkan oleh majikan Joseph menerusi laman Facebook Amazing Borneo.
Joseph ditemui di bawah runtuhan batu dalam keadaan menghalang batu-batu tersebut menghempap dua tetamunya. Malangnya ketiga-tiga mereka tidak berjaya diselamatkan.
Joseph dilihat memeluk dua tetamu pelancongnya dalam usahanya menjadi penghadang dengan menggunakan tubuhnya, menurut Shahrulnizam Suhaiji yang juga merupakan rakan sekerjanya.
Mendiang merupakan pekerja di Amazing Borneo sejak dua bulan lalu dan dikenali sebagai seorang yang peramah, lemah lembut dan baik hati di kalangan rakan sekerjanya.
“Dia seorang yang bersemangat tinggi dan akan sentiasa dikenang oleh jiwa-jiwa mereka yang pernah berurusan dengannya.
“Kami akan merinduimu, Joseph. Kamu telah hidup dalam kasih sayang yang diberi, dalam gelak ketawa yang kau kongsi bersama, dan kekal dalam ingatan kami selamanya,” kata status tersebut.
Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berusia empat dan dua tahun.
Hajatnya untuk pulang ke rumah bagi meraikan ulang tahun perkahwinannya pada 12 Jun ini tidak kesampaian.
Hulurkan derma ikhlas anda kepada keluarga Joseph Selungin bagi membantu isterinya menyara keluarga.
#Amazing Borneo #gempa #gempa bumi #Gunung Kinabalu #Joseph Selungin #Ranau #Sabah
;