Maldives teroka peluang pendidikan dengan Educity Iskandar

Bernama
Mei 10, 2022 08:45 MYT
EduCity menyediakan ekosistem lengkap antaranya kemudahan tempat tinggal, kompleks sukan bertaraf antarabangsa, pusat rekreasi dan pelbagai kemudahan lain yang terkini. (Gambar kecil: Wan Ahmad Saifuddin). -Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Educity Iskandar Malaysia Sdn Bhd sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Maldives untuk meneroka beberapa projek dalam pendidikan antara kedua-dua pihak.
Pengarah Urusan Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata kerjasama itu termasuk membangunkan program pembangunan bakat yang komprehensif bagi meningkatkan kualiti tenaga pengajar Maldives.
Educity Iskandar juga akan memberi sokongan untuk merangsang ekosistem pendidikan republik itu dengan pembangunan program berkualiti dan berprestij bagi pasaran domestik Maldives.
"Kerjasama ini turut akan menyaksikan pertukaran pengetahuan serta pembangunan bakat untuk tenaga pengajar (Maldives) dan segmen pasaran pelajar.
"Kami juga yakin bagi menyokong peningkatan ekosistem pendidikan mereka dengan bekerjasama dalam pembangunan bakat," kata Wan Ahmad Saifuddin dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menteri Pendidikan Maldives Dr Aishath Ali dan Wan Ahmad Saifuddin hadir pada majlis pertukaran dokumen di Iskandar Puteri pada Ahad.
Turut hadir adalah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) Datuk Khairil Anwar Ahmad, yang juga merupakan Pengerusi EduCity Iskandar Malaysia.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata kerjasama berkenaan akan memberi manfaat kepada Johor.
"Sektor pendidikan akan terus dipupuk kerana ia menyediakan asas dalam menjana modal insan bertaraf dunia, yang penting untuk mendorong kita dalam mendapatkan model ekonomi yang inklusif dan rancak berdasarkan penggunaan teknologi termaju.
"Saya juga gembira dengan peranan pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti IIB dan EduCity Iskandar dalam mewujudkan kerjasama seperti ini, walaupun terdapat gangguan yang disebabkan oleh pandemik sejak beberapa tahun kebelakangan.
"Ini adalah bukti mengenai bukan sahaja tarikan serta daya tahan Johor yang berterusan khususnya wilayah Iskandar Malaysia tetapi juga, kerja keras GLC dan agensi kerajaan kita,'' katanya.
-- BERNAMA
#Educity Iskandar Malaysia #Kementerian Pendidikan Maldives #Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi #Aishath Ali
;