#MalaysiaMemilih: 'TN50 ciplak Wawasan 2020' - Tun M
Firdaus Azil
Januari 3, 2018 17:00 MYT
Januari 3, 2018 17:00 MYT
Transformasi Nasional 2050 (TN50) cuma satu konsep yang 'menciplak' Wawasan 2020, kata pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya lagi, pengenalan TN50 secara tidak langsung menunjukkan kerajaan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak cuba mengalih perhatian umum di atas kegagalan mereka merealisasikan konsep Wawasan 2020 yang telah pun diperkenalkan sejak awal 90-an.
"Mereka (Barisan Nasional) cuba mengalih pandangan umum daripada Wawasan 2020 yang mana Najib tentu tahu dia tidak akan jadi perdana menteri masa itu. Itu sebabnya dia letakkan TN50 ini 30 tahun lebih daripada sekarang," katanya Dr Mahathir kepada sidang media di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri di antara 1981 hingga 2003, telah memperkenalkan konsep Wawasan 2020 sebagai usaha menjadikan Malaysia negara perindustrian dan negara maju menjelang 2020.
Bagaimanapun, katanya lagi, Pakatan Harapan mempunyai cara untuk merealisasikan Wawasan 2020 seandainya gabungan itu memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Kita mempunyai cara-cara untuk menjayakan Wawasan 2020, (tetapi) mungkin terlewat sedikit kerana kita kehilangan hampir sembilan tahun," katanya merujuk kepada kegagalan pembangkang memenangi PRU pada 2008.
Datuk Seri Najib, yang juga pengerusi BN dan presiden UMNO, pada Mac lepas menolak pandangan bahawa TN50 itu meniru konsep Wawasan 2020, sebaliknya menyatakan ia adalah satu kesinambungan.
"Ada orang cakap kita tolak Wawasan 2020. Kita tidak tolak. Ini kesinambungan. Selain menggunakan pendekatan lain seperti wacana dan dialog nasional, kita juga hendak wujudkan strategi kebangsaan dengan adanya pelan pelaksanaan dan pemantauan," katanya sewaktu persidangan Dewan Rakyat.
Datuk Seri Najib juga berkata TN50 berbeza dengan Wawasan 2020 kerana ia menggunakan konsep 'bottom up', dan bukan 'top down', kerana pandangan daripada rakyat yang berbilang bangsa dan agama diambil kira untuk merangka TN50.
#Barisan Nasional
#Dewan Rakyat
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#Perdana Menteri
#pilihan raya umum
#TN50
#Transformasi Nasional 2050
#UMNO
#Wawasan 2020