#MalaysiaMemilih: PAS sasar Permatang Pauh, hantar mesej siapa 'musuh' utama
Firdaus Azil
Februari 6, 2018 15:45 MYT
Februari 6, 2018 15:45 MYT
Hasrat PAS untuk meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang kini disandang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, jelas menunjukkan mesej siapa musuh mereka yang lebih besar,
kata penganalisis politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Kata Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya (UM) itu lagi, ia juga bagi menghantar mesej kepada masyarakat secara umumnya, bahawa PAS adalah sebuah parti yang besar dan setanding dengan parti nasional lain.
“Dan kita tertanya-tanya kenapa PAS umumkan Permatang Pauh misalnya, kenapa PAS tidak umumkan di Bagan Datuk (disandang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) misalnya, atau pun Pekan (disandang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) misalnya.
“Maknanya siapa musuh yang lebih besar PAS ini, siapa musuh yang lebih utama. Jadi ternyata dalam konteks ini Hadi Awang ingin menunjukkan kesungguhan PAS tidak bersama dengan Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi Astro Awani baru-baru ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu dalam satu ceramah di Kubang Semang, Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan parti itu akan bertanding di Permatang Pauh kerana calonnya pernah mewakili kerusi itu selepas Pilihan Raya Umum 1978.
Ia dilihat sebagai satu perkembangan menarik kerana kerusi itu merupakan milik Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum berpindah milik ke isterinya Dr Wan Azizah ekoran terpaksa menjalani hukuman penjara.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, sejarah membuktikan PAS tidak akan menang besar jika ia berjuang bersendirian.
Katanya lagi, parti itu hanya melebarkan jumlah kerusi yang dimilikinya apabila ia bersama gabungan parti politik pembangkang yang lain seperti Barisan Alternatif, dan Pakatan Rakyat.
Pada masa kini, PAS menyandang 13 kerusi Parlimen dan 78 kerusi Dewan Undangan Negeri secara keseluruhan.
#Abdul Hadi Awang
#Anwar Ibrahim
#Astro Awani
#Pakatan Harapan
#PAS
#Permatang Pauh
#pilihan raya umum
#PKR
#politik
#UM
#Wan Azizah
#Zahid Hamidi