#MalaysiaMemilih: Kenapa kacau padang bola Bandar Tun Razak? - Penduduk
Firdaus Azil
Februari 12, 2018 16:45 MYT
Februari 12, 2018 16:45 MYT
Isu pengambilalihan padang bola sepak Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, untuk dijadikan tapak pembinaan kondominium, sepatutnya tidak berlaku kerana di situlah lahirnya nama Bandar Tun Razak, kata penduduk tempatan, Meor Amin Shaari.
Meor yang juga seorang aktivis NGO, 'Selamatkan Padang Bola Sepak Bandar Tun Razak' berkata, isu itu juga dilihat sensitif kerana di padang itulah tempat mereka berkumpul, dan melakukan aktiviti bersama-sama seperti mengadakan majlis keraian dan mengadakan pertandingan bola sepak, semenjak 35 tahun yang lepas.
“Bukan generasi kami saja yang membesar di situ, sekarang sudah pun memasuki generasi ketiga. Tapi dengan pengambilan tanah nak dibangunkan kondominium, kononnya mampu milik, tapi secara jujur mampu lihat saja kot.
“Dengan cara pengambilan (tapak padang) yang tak mengikut undang-undang, ia dilihat membelakangkan hak kami…mana adilnya dekat situ?” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Dalam sidang Parlimen pada April tahun lepas, Dewan diberitahu bahawa padang itu akan dibangunkan dalam dua fasa -- fasa pertama akan melibatkan 823 unit rumah mampu milik termasuk 640 unit ganti bagi penghuni flat Sri Labuan dan fasa kedua pula melibatkan 1,015 unit rumah yang dijual dengan harga pasaran.
Namun, cadangan pembangunan padang itu mendapat bantahan penduduk setempat kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa ia dijual kepada pemaju walaupun belum dinyahwartakan dari status tanah rizab.
Meor berkata, luahan mereka mendapat perhatian ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dari PKR yang dikatakan akan dicalonkan parti itu untuk bertanding di Bandar Tun Razak.
Katanya lagi, Kamaruddin telah mendengar luahan hati penduduk setempat yang ingin padang itu dikekalkan, dan telah membawa mereka ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kami juga akan membawa kes ini ke mahkamah dalam tempoh terdekat kerana kami baru lepas signed affidavit, ada beberapa penama yang kami akan seret ke mahkamah,” katanya lagi.
Tinjauan Astro Awani mendapati kawasan padang itu sudah pun ditutup dan kerja-kerja pembinaan sudah dimulakan.
Isu berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah perkara yang sensitif di Bandar Tun Razak.
Hasil kajian Universiti Malaya mendapati hanya 41 peratus penduduknya berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan DBKL.
Perkara terbabit juga dikhuatiri menjejaskan undi yang bakal diterima calon BN di kawasan itu memandangkan 42 peratus pengundi di kawasan itu menyatakan undi mereka boleh dipengaruhi oleh isu melibatkan PBT.
#Astro Awani
#Bandar Tun Razak
#DBKL
#Kamaruddin Jaafar
#Kuala Lumpur
#mahkamah
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Perdana Menteri
#RIZALMAN MOKHTAR
#Tumpat
#undang-undang