#MalaysiaMemilih calon akhir media sosial terbaik ADMA2018
Muzaffar Mustapa
November 8, 2018 09:07 MYT
November 8, 2018 09:07 MYT
Program khas sempena Pilihan Raya Umum ke-14, Malaysia Memilih yang bersiaran di Astro AWANI pada Mei lalu, disenaraikan sebagai calon akhir di Anugerah Media Digital Asia 2018 (ADMA2018).
Melalui program tersebut, Astro AWANI dicalonkan dalam kategori Penglibatan Media Sosial Terbaik menerusi tanda pagar #MalaysiaMemilih.
Keputusan akan diumumkan lewat petang ini dalam satu majlis yang akan berlangsung di Hong Kong.
#MalaysiaMemilih merupakan tanda pagar utama kempen pilihan raya umum yang telah menjana lebih 75 peratus perbualan mengenai PRU14 di platform media sosial dan menjadi topik trending sepanjang musim pilihan raya tersebut.
Calon lain dalam kategori tersebut adalah Perempuan Bisa dari Indonesia dan 'Stomps fights fake news & get things done' dan What’s Good dari Singapura.
Berlangsung pada 9 Mei 2018, pilihan raya itu mencipta sejarah penting negara apabila kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan sekali gus berlakunya peralihan kerajaan yang dikuasai oleh Barisan Nasional sejak merdeka.
Selain #MalaysiaMemilih sebagai tunjang kempen tersebut, Astro AWANI turut memperkenalkan tanda pagar tematik antaranya #AkuMengundiMana, #TerimaKasihYB, #JomBalikMengundi, #IniKisahKita, #JalanKePutrajaya, #PilihanMalaysia dan #MalaysiaBaharu.
Program khas Malaysia Memilih telah ditonton 10 juta penonton di kaca televisyen, 12 juta pengunjung unik dan lebih 84.5 juta akses paparan halaman di www.astroawani.com dan www.malaysiamemilih.com.
#Anugerah Digital Media Asia
#Asian Digital Media Awards
#Astro Awani
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Social Media Engagement