#MalaysiaMemilih: "BN masih tiada tempat di hati kaum Cina" - Penganalisis

Firdaus Azil
Mac 3, 2018 20:15 MYT
Sentimen mereka masih dilingkari isu-isu di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Hakikatnya, majoriti masyarakat Cina masih dibelenggu dan dibayangi dengan politik persepsi, menyebabkan corak pengundian mereka pada pilihan raya umum 2013 dilihat akan berulang, kata Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Tambahan pula, katanya lagi, parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan juga dilihat masih bergelut untuk mendapat kembali sokongan kaum itu sejak 2008.
“Kalau kita lihat secara khususnya, kemenangan presiden MCA (Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya (Datuk Seri Ir Wee Ka Siong), malah setiausaha agungnya (Datuk Ong Ka Chuan), banyak disokong pengundi berbangsa Melayu.
“Jadi kita lihat suara kaum Cina yang sebenar itu kurang kelihatan, walaupun dalam parti komponen sendiri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Untuk rekod, pada PRU lepas, Liow mempertahankan kerusi parlimen Bentong dengan majoriti 379 undi, Wee pula di parlimen Ayer Hitam dengan majoriti 7,310 undi, dan Ong di Tanjong Malim dengan majoriti 4,328 undi.
Mengikut komposisi pengundi, kaum Melayu di Bentong mencatat bilangan sebanyak 43.2 peratus, di Ayer Hitam sebanyak 56 peratus, manakala di Tanjong Malim sebanyak 53.2 peratus.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, walaupun tuntutan kaum Cina dalam bidang pendidikan, ekonomi, serta keselamatan banyak ditangani dengan berkesan oleh Kerajaan Barisan Nasional, namun sentimen mereka masih dilingkari isu-isu di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Awang Azman juga berkata, skandal terowong bawah tanah yang membelenggu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak memberi impak kepada sentimen masyarakat itu.
“Apabila kaum Cina lebih percaya kepada isu yang disifat persepsi, maka apa-apa yang melingkari terhadap parti DAP, mereka susah untuk menerimanya,” katanya lagi.
#Astro Awani #Barisan Nasional #Cina #DAP #GERAKAN #Lim Guan Eng #Liow Tiong Lai #Malaysia Memilih #MCA #Melayu #Parlimen #pilihan raya umum #politik #PRU #UM #UMNO #Wee Ka Siong
;