#MalaysiaMemilih: Apa pandangan orang ramai terhadap KR1M 2.0?

Zaim Ibrahim
Februari 5, 2018 09:14 MYT
Najib ketika merasmikan Kedai Rakyat 1 Malaysia di Temerloh. sumber- Astro Awani
Selepas pelancaran Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) 2.0 di Temerloh, Pahang semalam, pelbagai reaksi diterima daripada masyarakat umum.
Rata-rata mereka menyambut baik KR1M kerana model baharu ini mampu memberi pelbagai pilihan kepada mereka dengan harga yang murah.
Menurut seorang peniaga, Zaini Abdul Syukur, beliau mengharapkan KR1M diperluaskan ke semua daerah di Malaysia.
“Buka KR1M di seluruh kawasan bandar dan kampung supaya semua rakyat mampu menikmati hasil kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya.
Menurutnya, penjenamaan semula KR1M mampu memberi pengaruh besar terhadap Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Sementara itu, seorang lagi responden yang ditemui Astro AWANI, Nadia Azwana, berkata KR1M akan menggalakkan masyarakat untuk membeli kerana terdapat pelbagai pilihan barangan pada harga yang murah.
Bukan itu sahaja, kerani itu turut beranggapan KR1M akan mempengaruhi rakyat untuk memilih pentadbiran yang diyakini dalam pilihan raya akan datang.
Akan tetapi, seorang peniaga runcit, Azman Said, mengakui KR1M 2.0 akan menggugat perniagaannya.
“Jika KR1M menjual produk-produk berjenama dengan harga murah, perniagaan saya sudah pasti akan tergugat. Keadaan lebih sukar dengan peningkatan warga asing yang membuka kedai runcit di kawasan ini,” jelas beliau.
Hasil kajian daripada Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), kewujudan KR1M sememangnya mampu mempengaruhi undi rakyat terhadap kerajaan.
Perkara ini dibuktikan dengan 85 peratus responden di Jerlun menyambut baik KR1M diikuti dengan kawasan Parlimen lain.
Sebagai satu inisiatif kerajaan meringankan kos sara hidup yang meningkat, kerajaan telah menjenamakan semula KR1M 2.0 selaras dengan keperluan semasa rakyat.
#Jerlun #Kedai Rakyat 1 Malaysia #kos sara hidup #KR1M 2 0 #Malaysia Memilih #pengundi #PRU 14