Malaysia yakin capai 50 peratus tahap sara diri sektor daging 2030 - Mohamad Sabu
Bernama
Mei 14, 2024 15:25 MYT
Mei 14, 2024 15:25 MYT
SERDANG: Negara yakin capai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) bagi sektor daging lembu menjelang 2030, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad berkata, ia dapat dicapai melalui pengembangan pelbagai inovasi yang diteroka Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta keterbukaan industri mengaplikasikan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dalam sektor ternakan.
"Dia (Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Ngah Hamid) akan berusaha ke arah mencapai sasaran, jadi pada hari ini ketua pengarah kata boleh, dan saya pun setuju bahawa ia boleh dicapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi 2024 di sini hari ini.
Pada 8 Mac lepas, Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan untuk memperluas penternakan lembu secara fidlot iaitu membangunkan semula ladang mega ternakan lembu bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan sekali gus meletakkan negara dalam landasan tepat ke arah mencapai sasaran 50 peratus SSL bagi sektor daging menjelang 2030.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Mohamad berharap setiap hala tuju dan fokus yang dicapai sepanjang tahun ini adalah berpandukan kepada Pelan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang menekankan lima teras termasuk penerokaan penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian seperti AI.
"Saya berharap kepada semua agar konsep PINTAR ini dapat diperluas dan disematkan dalam fikiran dan jiwa setiap ejen pengembangan kita. PINTAR adalah kaedah kita untuk mencari solusi kepada permasalahan pertanian yang telah berdekad lamanya," katanya.
Sementara itu, Akma berkata, tahap SSL susu segar ketika ini berada pada tahap 62 peratus dan sedang menuju ke arah sasaran 100 peratus SSL pada 2030.
"Sasaran pada 2030 ialah kita hendak capai 100 peratus SSL, jadi banyak program kita jalankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Industri tenusu ini mempunyai banyak potensi dan kita berada pada landasan, dengan syarat tiada wabak berlaku," katanya.
Akma berkata setakat ini negara memiliki lima lembah tenusu di bawah Program Pembangunan Industri Tenusu Negara yang dijangka mampu memenuhi permintaan susu segar tempatan menjelang 2025.
-- BERNAMA