Malaysia-Vietnam perkukuh kerjasama tangani isu keselamatan
Bernama
Februari 13, 2020 14:00 MYT
Februari 13, 2020 14:00 MYT
Malaysia dan Vietnam akan perkukuhkan lagi kerjasama dalam menangani isu-isu keselamatan melibatkan kedua-dua negara.
Perkara itu dipersetujui dalam pertemuan kira-kira satu jam antara Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Keselamatan Awam Vietnam Jeneral To Lam yang melakukan kunjungan hormat ke atas Muhyiddin di Kementerian Dalam Negeri di sini.
Pejabat Menteri Dalam Negeri memaklumkan kedua-dua pemimpin itu antara lain menyentuh mengenai kerjasama dalam mendepani isu jenayah rentas sempadan, isu perairan serta penguatkuasaan agensi maritim.
Tumpuan khusus perbincangan adalah mengenai isu-isu keselamatan di kawasan perairan kerana kedua-dua negara adalah bersempadan, katanya.
Kedua-dua pemimpin juga komited memperkasakan peranan agensi maritim masing-masing dalam usaha menangani isu-isu jenayah di kawasan perairan.
Ini merupakan kunjungan hormat kali pertama To Lam sejak Muhyiddin mengetuai Kementerian Dalam Negeri pada 2018.
Malaysia dan Vietnam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Mencegah dan Memerangi Jenayah Rentas Sempadan pada Oktober 2015.
-- BERNAMA
#jenayah
#jenayah rentas sempadan
#Kementerian Dalam Negeri
#keselamatan
#Malaysia
#maritim
#Memorandum Persefahaman
#MoU
#Muhyiddin Yassin
#perairan
#To Lam
#Vietnam