Malaysia, Vietnam akan terus jalin kerjasama akrab - TPM

Bernama
Oktober 24, 2018 21:07 MYT
Dr Wan Azizah mengadakan pertemuan dengan Nguyen di pejabat Pengerusi Wanita Perhimpunan Kebangsaan Vietnam itu di Hanoi, 24 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
Malaysia dan Vietnam akan terus meningkatkan kerjasama yang sudah terjalin akrab selama 45 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memberi perhatian dalam isu Laut China Selatan serta membantu antara satu sama lain sebagai negara anggota ASEAN.
"Vietnam mahu Laut China Selatan bebas daripada apa-apa unsur yang tidak baik dan kita akan bekerjasama.
"Kita juga melihat bagaimana hubungan dalam ASEAN itu membantu kita apabila ada kerenggangan atau masalah serta isu antara China dan Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam Nguyen Thi Kim Ngan.
Beliau berkata Malaysia juga bersetuju mengambil kira kebajikan kira-kira 30,000 pekerja Vietnam di Malaysia daripada unsur eksploitasi.
"Kalau ada unsur-unsur eksploitasi memang kita (akan ambil tindakan) terutamanya keadaan tempat tinggal dan cara-cara mereka dikendalikan, janganlah ada agensi haram yang melakukan eksploitasi," katanya.
Dr Wan Azizah berkata dalam pertemuannya dengan wanita pertama yang dilantik sebagai pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam itu, mereka juga membincangkan usaha memperkasa golongan wanita di ASEAN.
Beliau dimaklumkan 26 peratus anggota Perhimpunan Kebangsaan Vietnam terdiri daripada wanita.
"Wanita perlu diberi peluang dan hak sama rata menceburi bidang-bidang yang mereka inginkan," katanya.
Dr Wan Azizah berkata isu memperkasa wanita juga akan menjadi agenda utama pada Mesyuarat Ke-3 Menteri-Menteri ASEAN mengenai Wanita (AMMW) yang bakal dihadirinya esok di Hanoi.
-- BERNAMA
#agensi haram #Amerika Syarikat #ASEAN #China #eksploitasi #Laut China Selatan #Malaysia #memperkasa wanita #Nguyen Thi Kim Ngan #pekerja Vietnam #Timbalan Perdana Menteri #TPM #Vietnam #Wan Azizah Wan Ismail