Malaysia, Uzbekistan setuju tingkat kerjasama dalam bidang pendidikan

Bernama
Mei 18, 2024 12:15 MYT
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Shavkat Mirziyoyev bertukar dokumen selepas menandatangani kenyataan bersama pada pertemuan di Istana Presiden Kuksaroy, Tashkent, pada Jumaat. - Gambar Bernama
TASHKENT: Malaysia dan Uzbekistan bersetuju melaksanakan program-program pendidikan bersama di Uzbekistan dengan universiti terkemuka di Malaysia, bagi mengembangkan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev dalam kenyataan bersama pada Jumaat berkata, Malaysia komited untuk menyediakan guru Bahasa Inggeris kepada Uzbekistan dalam memastikan bahawa standard pendidikan antarabangsa dipenuhi Uzbekistan dan pensijilan berkaitannya diiktiraf untuk manfaat bersama kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan bantuan yang ditawarkannya selama ini.
"Kedua-dua pemimpin menyatakan bahawa pada masa hadapan, pembangunan sumber manusia melalui program pembinaan kapasiti baharu dalam bidang seperti diplomasi ekonomi, kewangan dan perbankan Islam, teknologi, kejuruteraan, tenaga, industri kimia, ekonomi kreatif, industri halal, pendidikan, ekologi dan perubahan iklim dan pelancongan akan menjadi penting dalam pelaksanaan projek bersama," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga mengukuhkan kerjasama aktif berkaitan isu semasa, dalam rangka kerja organisasi antarabangsa khususnya Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Kerjasama Islam, dan bersetuju untuk meneruskan amalan menyokong inisiatif bersama dan calon.
Kedua-dua pemimpin turut menyatakan pendekatan terkoordinasi mereka terhadap kepentingan untuk tidak meminggirkan Afghanistan dan untuk mengelak krisis kemanusiaan mendatang.
Mereka juga bersetuju perlunya memberikan bantuan kepada Afghanistan, untuk menggunakan peluang hab bantuan kemanusiaan antarabangsa di bandar Termez bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan Malaysia kepada rakyat Afghanistan," menurut kenyataan itu.
Anwar dan Mirziyoyev juga menilai secara positif hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang memerangi rasuah yang semakin aktif dari tahun ke tahun dan keserasian pendekatan untuk masalah ini.
Dalam kenyataan bersama itu kedua-dua pemimpin juga dengan bangganya mengisytiharkan komitmen bersama dalam mempergiatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, dengan tujuan memajukan kerjasama dua hala merentasi semua domain.
"Para pemimpin menyedari bahawa lawatan dan perundingan di peringkat tinggi, termasuk oleh ketua-ketua kementerian luar dan kementerian dan agensi lain, adalah mekanisme yang berkesan dalam menyumbang kepada kemajuan hubungan bersama.
"Kedua-dua pemimpin amat menghargai kepesatan pembangunan kerjasama antara parlimen dan menekankan kepentingan mempergiatkan aktiviti "kumpulan persahabatan" dan kunjungan bersama wakil parlimen dalam pengembangan dan pembangunan lanjut hubungan dua hala," menurut kenyataan itu.
Anwar tiba di sini Jumaat untuk lawatan rasmi tiga hari ke Uzbekistan buat julung kalinya.
Pada hari yang sama, Anwar membuat kunjungan hormat keatas Mirziyoyev di Kuksaroy Presidential Residence, di sini.
Dalam pertemuan sejam itu kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.
Uzbekistan adalah persinggahan terakhir lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Terdahulu beliau telah melawat Republik Kyrgyz dan Kazakhstan. - BERNAMA
#PM Anwar Ibrahim #Presiden Shavkat Mirziyoyev #Malaysia-Uzbekistan #kerjasama pendidikan
;