Malaysia, Uzbekistan kongsi amalan terbaik dalam pelancongan
Bernama
Mei 18, 2024 12:15 MYT
Mei 18, 2024 12:15 MYT
TASHKENT: Adalah penting untuk mewujudkan hubungan antara kementerian dan agensi yang berwibawa di Malaysia dan Uzbekistan untuk bertukar-tukar amalan terbaik dalam pelaksanaan pemasaran komprehensif bidang pelancongan di kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev dalam kenyataan bersama pada Jumaat berkata, dengan mengambil kira bahawa Malaysia adalah antara negara terkemuka dari segi menarik pelancong asing dan melaksanakan konsep pelancongan halal, terdapat keperluan untuk memperkenalkan piawaian pelancongan yang serasi dengan nilai-nilai Islam.
"Aliran pelancong dua hala yang semakin meningkat dinilai secara positif, dan trafik udara antara ibu kota terus meningkat, sekali gus mewujudkan penerbangan terus dari bandar-bandar utama Malaysia ke bandar Samarkand dan Bukhara, yang akan berfungsi mengaktifkan hubungan antara kelompok perniagaan dan meningkatkan aliran pelancong," katanya dalam kenyataan itu.
Menurutnya, Malaysia mengalu-alukan penerbangan tetap sedia ada pergi dan balik ke Uzbekistan menerusi penerbangan Batik Air dan Uzbekistan Airways, dan berharap untuk menjadi hab pelancongan bagi rantau Asia Tengah ke Malaysia serta negara-negara ASEAN.
Kedua-dua pemimpin turut menekankan bahawa oleh kerana kedua-dua negara dihubungkan oleh perkaitan sejarah, agama dan nilai kerohanian yang sama, kedua-dua negara bersetuju untuk meneruskan kerjasama berkesan antara pusat penyelidikan dalam mengkaji dan mempromosikan kekayaan warisan tamadun Islam.
"Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kebimbangan mereka terhadap peningkatan sikap tidak bertoleransi terhadap agama dan Islamofobia yang telah dilihat di beberapa negara sejak kebelakangan ini, dan mereka bersetuju untuk mempromosikan secara meluas idea-idea toleransi dan keharmonian antara agama pada skala global, demi kebaikan ummah yang lebih besar," menurut kenyataan itu.
Anwar tiba di sini Jumaat untuk lawatan rasmi tiga hari ke Uzbekistan buat julung kalinya.
Pada hari yang sama Anwar membuat kunjungan hormat ke atas Mirziyoyev di Kuksaroy Presidential Residence, di sini.
Dalam pertemuan selama sejam itu kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan di samping meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.
Uzbekistan adalah persinggahan terakhir lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah.
Terdahulu beliau telah melawat Republik Kyrgyz dan Kazakhstan. - BERNAMA