Malaysia usul pengiktirafan sijil vaksinasi dalam kalangan negara D-8
Faris Danial Razi
April 8, 2021 21:58 MYT
April 8, 2021 21:58 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mengusulkan pengiktirafan Sijil Vaksinasi COVID-19 Timbal Balik yang akan mempercepat pembukaan semula sektor paling teruk terjejas dalam kalangan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras dengan usaha membendung masalah kemiskinan dan menjaga kebajikan sektor yang terjejas sewaktu pandemik COVID-19.
“Memandangkan rancangan pengedaran vaksin yang sudah mulai beroperasi di kebanyakan negara, Malaysia ingin mengusulkan kemungkinan adanya pengiktirafan Sijil Vaksinasi COVID-19 Timbal Balik di kalangan negara D-8.
“Saya percaya bahawa ia akan mempercepatkan pembukaan semula sektor yang paling teruk terjejas,” jelasnya.
Pada masa sama, Muhyiddin menyeru dan menggesa negara D-8 untuk berusaha dalam menyelesaikan masalah kemiskinan secara kolektif.
Muhyiddin berkata demikian sewaktu berucap dalam Sidang Kemuncak D-8 ke-10 yang diadakan secara maya pada Khamis.
Ia bertemakan “Partnership for a Transformative World: Harnessing The Power of Youth and Technology”, yang bertepatan dengan agenda D-8 untuk mengkaji semula inisiatif sedia ada, sekali gus meneroka peluang baharu melalui pemerkasaan belia dan teknologi digital, dalam menangani cabaran ekonomi global, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
#Muhyiddin Yassin
#ekonomi
#Belia
#Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#vaksin
#Kumpulan Lapan Negara Membangun D-8
#D-8
#Sijil Vaksinasi COVID-19 Timbal Balik