Malaysia ulangi komitmen perkukuh hubungan dengan ASEAN

Bernama
Oktober 5, 2024 14:13 MYT
Dalam temu bual bersama CNBC, Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama dan dialog yang konstruktif dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menangani isu-isu serantau. -Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memperkukuh hubungan erat dengan negara jiran ASEAN, ketika negara ini bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • Malaysia zahir komitmen perkukuh hubungan dengan negara jiran ASEAN menjelang peranannya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
  • Anwar menekankan pentingnya kerjasama dan dialog yang konstruktif dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk menangani isu-isu serantau, termasuk masalah sempadan dan isu air dengan Thailand dan Singapura, serta isu sensitif seperti Laut China Selatan.
  • Malaysia berusaha memupuk hubungan positif dengan semua negara, termasuk hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan China, yang merupakan pelabur utama dan rakan perdagangan penting bagi Malaysia.

Dalam temu bual bersama CNBC, Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama dan dialog yang konstruktif dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menangani isu-isu serantau.
"Kita ada masalah kecil di sempadan dengan Thailand, dengan Singapura pula isu air terus dibincangkan, tetapi kami tidak membincangkannya sebagai musuh ketat.
"Kita berbincang sebagai rakan, saudara dan satu keluarga. Saya yakin kita mampu menyelesaikannya. Jika tidak, ia tidak akan menimbulkan sebarang ketidakpercayaan, permusuhan atau peperangan.
"Kami berharap untuk mencapai konsensus, terutamanya dalam isu-isu yang lebih sensitif seperti Laut China Selatan," katanya sambil menambah bahawa mekanisme dua hala, pelbagai hala dan ASEAN perlu digunakan untuk menangani perkara tersebut.
Pada masa sama, Anwar mengulangi komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan positif dengan semua negara, sambil menegaskan hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.
"Kami mempunyai hubungan baik dengan AS, yang merupakan pelabur utama, dan secara kumulatif yang terbesar di Malaysia, dengan pelaburan besar baru masih menerajui.
"Dalam 15 tahun kebelakangan ini, China turut meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Malaysia. Kita harus menggunakan peluang ini untuk memastikan hubungan yang berterusan," katanya
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #ASEAN
;