Malaysia ulangi gesaan akhiri keganasan di Palestin

Astro Awani
Julai 14, 2024 10:20 MYT
Wisma Putra menyifatkan serangan berterusan Israel ke atas Palestin sebagai satu pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia.
KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman berterusan yang dilakukan rejim Israel, termasuk tindakan melancarkan serangan udara ke atas kem pelarian al-Mawasi pada Sabtu.
Serangan tersebut mengorbankan nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan ratusan individu lain.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan serangan berterusan itu sebagai suatu pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia.
"Ia juga bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang antarabangsa.
"Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan dan kekejaman yang berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel.
"Keganasan yang berterusan ini secara jelas melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024), yang menyeru untuk menghentikan segera peperangan, melindungi penduduk awam dan memberi akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza," tambahnya.
Justeru, Malaysia menggesa agar masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan tegas untuk mengakhiri keganasan ini dan menuntut pemimpin-pemimpin Israel untuk bertanggungjawab ke atas jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.
#Malaysia #Palestin #Wisma Putra #Israel