Malaysia ucap takziah kepada keluarga mendiang Presiden Jimmy Carter

Bernama
Januari 2, 2025 22:15 MYT
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menandatangani nota takziah di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur. - Foto Facebook Wisma Putra
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati atas pemergian bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), James E. Carter Jr. pada 29 Dis 2024.
Kementerian Luar Negeri dalam hantaran di laman Facebook rasminya pada Khamis memaklumkan bahawa Carter, yang merupakan Presiden AS ke-39, adalah seorang negarawan terbilang yang telah banyak menyumbang kepada usaha kemanusiaan yang meninggalkan kesan mendalam kepada dunia.
"Malaysia juga berharap agar keluarga mendiang Presiden diberikan kekuatan dan ketabahan dalam masa sukar ini," menurut Kementerian Luar Negeri.
Hantaran itu turut berkongsi gambar Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menandatangani nota takziah di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Carter, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2002, meninggal dunia pada usia 100 tahun di kediamannya di Plains, Georgia.
-- BERNAMA
#Malaysia ucap takziah #Bekas Presiden Amerika Syarikat #Jimmy Carter #Kementerian Luar
;