Malaysia, UAE tingkat kerjasama pertahanan

Bernama
Mac 2, 2023 17:00 MYT
Mohamad turut melawat ADSB dan CARACAL, pengeluar senjata terkenal di dunia, bagi mendapatkan pandangan mengenai cara UAE membangunkan produk pertahanannya. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menegaskan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan khususnya dalam sains, teknologi dan industri pertahanan.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakat sejawat Mohammed Ahmed Al Bowardi turut menekankan keperluan bagi meningkatkan kerjasama industri pertahanan melalui perkongsian pintar, usaha sama dan perniagaan strategik antara syarikat pertahanan kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, semasa pertemuan, Mohamad mengambil kesempatan mengundang Mohammed Ahmed Al Bowardi melawat Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2023) di Langkawi.
Beliau turut melawat Abu Dhabi Ship Building (ADSB) dan CARACAL, pengeluar senjata terkenal di dunia, bagi mendapatkan pandangan mengenai cara UAE membangunkan produk pertahanannya.
"Menteri (Mohamad) berharap syarikat pertahanan UAE mampu meneroka laluan baharu kerjasama di Malaysia," menurut Kementerian Pertahanan.
Mohamad menyertai lawatan kerja ke UAE dari 26 Feb hingga semalam bagi mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengunjungi Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Beliau turut mengiringi Seri Paduka berangkat ke Majlis Penutup Desert Tiger Exercise 6/2023 di Kem Al Hamra, Abu Dhabi dan bertemu dengan anggota tentera yang terlibat dalam latihan tersebut.
-- BERNAMA
#UAE #Langkawi #LIMA 2023 #CARACAL
;