Malaysia-UAE sepakat tingkatkan kerjasama pelbagai bidang - PM Anwar

Rahimah Abdullah
Mac 4, 2023 17:58 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Presiden UAE melalui telefon pada Jumaat. - Gambar Twitter @anwaribrahim
KUALA LUMPUR : Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai hubungan dua hala yang cukup erat dan kedua-dua negara sepakat untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, dan tenaga.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau juga berharap akan dapat mengadakan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam masa terdekat dan berbesar hati untuk menerima lawatan Presidennya, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan ke Malaysia pada tahun ini.
"Saya fikir di bawah kepimpinan Sheikh Mohamed, ia adalah hebat, berjaya dan maju. Secara peribadi, kamu telah banyak membantu.
"Malah saya pula berasa malu kerana kamu telah membantu banyak perkara, terutama dalam perdagangan, pelaburan. Saya benar-benar dan sangat menghargai kamu sebagai seorang saudara," katanya semasa berbincang melalui telefon dengan Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan pada Jumaat.
Justeru, beliau melahirkan penghargaan kepada UAE kerana sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada negara dalam banyak perkara.
Ia termasuk bantuan UAE terhadap Malaysia dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Syria baru-baru ini.
Ujar Anwar lagi, Malaysia dan UAE akan terus meneroka bentuk kerjasama dan hubungan yang lebih erat bagi mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Sheikh Mohamed berkata, hubungannya dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kekal utuh.
Malah, Malaysia dan rakyatnya sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam Presiden UAE itu.
"Hubungan saya dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berjalan sepanjang masa. Saya mempunyai tempat yang istimewa untuk negara (Malaysia) dan orang yang hebat di hati saya.
"Sejujurnya saya gembira mendengar suara kamu. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan kamu kerana bekerja keras menyelesaikan isu ini antara kita," tambahnya.

Semalam berpeluang adakan perbincangan melalui telefon bersama Yang Mulia Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE).#MalaysiaMADANI Video penuh: https://t.co/ERonBHA2gd pic.twitter.com/0VkWA1Q8hX

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) March 4, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#UAE #Malaysia #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan
;