Malaysia, UAE meterai MoU dalam pelaburan pusat data
Bernama
Januari 25, 2024 21:15 MYT
Januari 25, 2024 21:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia dan Kementerian Pelaburan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengukuhkan komitmen mereka untuk memajukan kerjasama pelaburan dalam sektor infrastruktur digital.
MITI berkata kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini, menandakan perkongsian strategik mengenai pembangunan pusat data di Malaysia dengan projek berpotensi dijangka mencapai jumlah kapasiti 500 megawatt.
MoU itu ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi.
MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata MoU itu mewakili komitmen yang kukuh ke arah kerjasama yang mantap dalam pertukaran pengetahuan dan kepakaran dalam sektor infrastruktur digital antara Malaysia dan UAE, ia juga bertujuan untuk memupuk hubungan ekonomi dan pelaburan dua hala yang lebih erat antara orang ramai dan sektor swasta kedua-dua negara.
Malaysia telah muncul sebagai destinasi pilihan untuk pusat data di Asia Tenggara berikutan infrastruktur digital dan fizikalnya yang kukuh, kedaulatan undang-undang serta langkah dan inisiatif yang disokong kerajaan yang menarik mengenai pelaburan pusat data, kata MITI.
Menurut MITI, permintaan yang semakin meningkat daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau akan memberi dorongan kepada status Malaysia yang semakin meningkat sebagai pemain serantau yang penting dalam ekonomi digital.
Di sebalik pembangunan pusat data, MoU itu juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk memajukan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti industri, PKS dan syarikat pemula niaga dalam AI dan membangunkan penyedia penyelesaian AI.
"Kerjasama infrastruktur digital Malaysia dengan UAE dengan tumpuan kepada pusat data akan membantu mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan digital.
"Dengan menjadi hab pusat data serantau, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menguasai sebahagian besar ekonomi digital ASEAN, diunjur mencecah US$1 trilion menjelang tahun 2030.
"MITI dan agensinya berazam untuk mempercepatkan pelaksanaan semua pelaburan komited supaya pelabur, perniagaan dan rakyat Malaysia meraih faedah daripada ekonomi digital yang lebih mantap dan berkembang maju dalam Malaysia dan ASEAN," kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, Menteri Pelaburan UAE Mohamed Hassan Alsuwaidi berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja meningkatkan hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara tetapi juga berusaha untuk memanfaatkan potensi luas Malaysia sebagai pilihan utama untuk lokasi pusat data di rantau Asia-Pasifik.
"Sebagai hab data yang sedang berkembang pesat di Asia Tenggara, pengaturan itu bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur digital negara dan mempercepatkan pengembangan ekonomi Internetnya, seiring dengan keutamaan dan kepentingan bersama," katanya.
MITI berkata MoU itu menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang kukuh antara Malaysia dan UAE dengan pertumbuhan ketara dalam volum perdagangan bukan minyak.
Ketika ini, UAE ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah dan Malaysia adalah pemain utama dalam eksport dan eksport semula UAE di rantau Asean.
-- BERNAMA