Malaysia, UAE memuktamadkan CEPA tahun ini - MITI

Bernama
Jun 4, 2024 20:44 MYT
Komitmen itu dibuat semasa mesyuarat dua hala di Putrajaya hari ini antara Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (fot) serta rakan sejawatannya, Menteri Negara bagi Perdagangan Luar UAE, Dr Thani Ahmed Al Zeyoudi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah mengesahkan komitmen mereka untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) menjelang tahun ini, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Ringkasan AI
  • Malaysia dan UAE komited untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) menjelang akhir tahun ini, dengan rundingan pertama dimulakan pada Oktober 2023.
  • CEPA dijangka memperkukuh kerjasama ekonomi, meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan UAE, serta ASEAN dan rantau GCC.
  • Perdagangan dua hala antara Malaysia dan UAE meningkat 43.4% pada suku pertama 2024, dengan pelaburan UAE di Malaysia melibatkan 34 projek bernilai RM1.49 bilion, mewujudkan 2,039 peluang pekerjaan.

Komitmen itu dibuat semasa mesyuarat dua hala di Putrajaya hari ini antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta rakan sejawatannya, Menteri Negara bagi Perdagangan Luar UAE, Dr Thani Ahmed Al Zeyoudi yang sedang dalam lawatan kerja sehari ke Malaysia.
Pusingan pertama rundingan CEPA telah dimulakan pada Oktober 2023. Sebagai perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dengan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), perjanjian itu dijangka membuka jalan ke arah kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, memupuk persekitaran yang kondusif untuk peningkatan aliran perdagangan serta pelaburan, bukan sahaja antara kedua-dua negara tetapi juga, ASEAN dan rantau GCC secara amnya.
Tengku Zafrul berkata kemajuan substantif dalam rundingan CEPA mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk mewujudkan rangka kerja komprehensif yang saling menguntungkan Malaysia dan UAE.
"Malaysia yakin bahawa pemeteraian CEPA akan melonjakkan lagi hubungan ekonomi kita dengan UAE memandangkan Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar di rantau Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pertemuan dua hala itu, selain CEPA, kedua-dua menteri berpeluang membincangkan, antara lain, potensi kerjasama perdagangan dan pelaburan antara UAE serta Malaysia, khususnya dalam bidang semikonduktor dan tenaga boleh baharu.
Delegasi Thani merangkumi sembilan pemimpin perniagaan UAE terkemuka yang mewakili sektor seperti tenaga hijau, logistik, peruncitan serta syarikat penerbangan, bertujuan mencari peluang perniagaan baharu disamping menjalinkan perkongsian strategik termasuk mengukuhkan kerjasama sedia ada dengan rakan kongsi Malaysia.
Thani turut membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
UAE dan Malaysia telah menjalin hubungan perdagangan serta ekonomi dua hala yang kukuh, pada suku pertama 2024, perdagangan dua hala mereka mencatatkan kenaikan sebanyak 43.4 peratus sehingga mencapai RM11.70 bilion.
Dari segi pelaburan, setakat 2023, 34 projek pembuatan dengan penyertaan UAE bernilai RM1.49 bilion (US$0.39 bilion) telah dilaksanakan dan mewujudkan 2,039 peluang pekerjaan di Malaysia.
-- BERNAMA
#Malaysia #UAE #CEPA #MITI
;