Malaysia-UAE jalin kerjasama lebih erat, tingkat peluang ekonomi

Astro Awani
Februari 9, 2021 17:45 MYT
Kedua-dua menteri juga telah membincangkan beberapa inisiatif penting di bawah empat bidang utama di era pasca pandemik. - Foto: Kementerian Luar Negeri
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sepakat menjalinkan kerjasama lebih erat dalam meningkatkan peluang ekonomi ketika kedua-dua negara menumpukan kepada usaha pemulihan yang kuat dan berdaya tahan susulan pandemik COVID-19.
Komitmen itu dinyatakan kedua-dua negara semasa pertemuan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan rakan sejawatannya dari UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Sultan Al Nahyan semalam.
Dalam satu kenyataan, kedua-dua menteri juga telah membincangkan beberapa inisiatif penting di bawah empat bidang utama di era pasca pandemik iaitu Perdagangan dan Pelaburan; Pertanian dan Keselamatan Makanan; Kesihatan; dan Pertukaran Diplomatik.
Lawatan kerja ini memberi nafas baharu terhadap hubungan dua hala yang sedia akrab antara Malaysia dan UAE.
"UAE merupakan salah satu rakan dagang utama Malaysia. Pada tahun 2019, jumlah perdagangan antara Malaysia dan UAE bernilai AS$6.43 bilion," katanya kenyataan itu.
UAE juga merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import kedua terbesar di rantau Asia Barat.
Memandangkan lokasi Malaysia yang strategik di rantau Asia Tenggara, Malaysia juga komited untuk menjadi pintu masuk bagi UAE untuk memasuki pasaran Asia Tenggara yang menempatkan lebih 650 juta penduduk.
Hishammuddin akan kembali ke Malaysia pada 9 Februari 2021, dan akan menjalani kuarantin wajib yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
#Hishammuddin Hussein #UAE #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #pandemik #KKM #ekonomi #Malaysia
;