Malaysia tutup pejabat di Pyongyang, semua kakitangan diplomatik Korea Utara diarah pulang
Ridauddin Daud
Mac 19, 2021 18:43 MYT
Mac 19, 2021 18:43 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan kecewa dengan tindakan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berkuat kuasa hari ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, tindakan negara republik itu disifatkan sebagai tidak ramah, tidak konstruktif serta tidak menghormati hubungan baik antara negara dalam dunia.
“Susulan keputusan itu, Malaysia akan menutup pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang ditangguhkan operasinya sejak tahun 2017.
“Manakala semua staf diplomatik negara itu dan tanggungan yang berada di Kuala Lumpur akan diarahkan untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam bermula Jumaat,” kata kenyataan itu.
Wisma Putra dalam kenyataan sama berkata, Malaysia menganggap Korea Utara sebagai rakan karib sejak hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terjalin pada 1973.
Bahkan, Malaysia merupakan antara negara terawal melakukannya dan terus menyokong negara itu ketika mereka berdepan saat sukar.
“Malaysia juga berusaha keras mengekalkan hubungan itu terutamanya selepas insiden pembunuhan Kim Jong Nam pada tahun 2017,” ujarnya.
Tegas Wisma Putra, keputusan sebelah pihak seperti itu adalah tidak wajar dan mengganggu usaha mempromosi keamanan, kestabilan dan kemakmuran dalam wilayah serantau.
Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, operasi kedutaan rasmi negara di Pyongyang telah ditangguhkan sejak tahun 2017.
"Semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka telah pulang sejak dari tahun itu," katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Jumaat.
Astro AWANI pada Jumaat melaporkan negara tersebut memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas seorang rakyatnya yang menetap di sini, bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan agensi berita negara itu KCNA berkata, Malaysia telah melakukan ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’ dan ‘menghantar rakyatnya yang tak bersalah ke AS dengan cara paksaan.
“Susulan situasi semasa, Kementerian Luar Korea Utara dengan ini memutuskan untuk menghentikan semua hubungan diplomatik dengan Malaysia yang telah melakukan tindakan bermusuhan terhadap Korea Utara, atas tekanan Amerika Syarikat," kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Mac lepas, yang menolak rayuan terakhir Mun Chol Myong untuk mencabar perintah ekstradisi ke atasnya.
Perintah tersebut diperolehi berikutan dakwaan FBI bahawa Chol Myong mengetuai kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan barang terlarang ke Korea Utara dan mencuci dana haram melalui syarikat samaran.
Chol Myong menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram serta dua tuduhan konspirasi untuk membersihkan wang haram.
#Wisma Putra
#North Korea
#Korea Utara
#Korea
#Diplomatik
#putus hubungan
#Amerika Syarikat
#jenayah
#Kuala Lumpur
#kim jong nam
#Pyongyang
#Kementerian Luar
#AS