Malaysia tutup kempen Piala Uber dengan kemenangan 4-1 ke atas Australia
Bernama
Mei 1, 2024 15:45 MYT
Mei 1, 2024 15:45 MYT
CHENGDU: Malaysia menutup kempen Piala Uber 2024 dengan kemenangan 4-1 ke atas Australia pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di sini hari ini.
Malaysia mendahului dalam perlawanan pembukaan menerusi pemain perseorangan wanita profesional negara Goh Jin Wei yang menewaskan Tiffany Ho, 21-6, 21-12.
Jin Wei kembali menyertai skuad kebangsaan menggantikan K. Letshanaa selepas direhatkan ketika Malaysia tewas 0-5 kepada naib juara 2018, Thailand.
Bagaimanapun pasangan utama Australia yang juga beregu ranking ke-32 dunia, Setyana Mapasa-Angela Yu menyamakan kedudukan selepas mengatasi gandingan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee, 21-15, 21-17 dalam tempoh 37 minit.
Pemain perseorangan kedua negara Wong Ling Ching tidak berdepan masalah mengenepikan cabaran Sydney Tjonadi 21-16, 21-3 dalam masa 31 minit untuk Malaysia kembali mendahului kedudukan.
Beregu kedua negara Ho Lo Ee-Tan Zhing Yi kemudian berjaya mengharungi rubber set untuk menundukkan pasangan Kaitlyn Ea-Gronya Somerville 21-12, 13-21, 21-10 bagi mengesahkan mata kemenangan skuad negara.
Siti Zulaikha Muhammad Azmi yang membuat penampilan sulung, membalas kepercayaan diberikan pasukan kejurulatihan apabila menamatkan saingan Malaysia dengan mengatasi Isabella Yan 21-10, 21-10.
Meskipun mencatat kemenangan, Malaysia gagal layak ke suku akhir selepas tewas kepada Taiwan dan Thailand sebelum ini.
Kali terakhir Malaysia mara ke suku akhir Piala Uber ialah pada edisi 2010.
-- BERNAMA