Malaysia, Turkiye teliti potensi kerjasama dalam bidang tenaga hijau - Chang

Bernama
Oktober 12, 2024 23:13 MYT
Chang berkata satu mesyuarat yang diadakan dengan pihak pengurusan tertinggi TENMAK membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan tenaga nuklear serta penerokaan mineral yang penting untuk pembangunan mampan kedua-dua negara. - Gambar FB Chang
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turkiye sedang meneliti potensi kerjasama dalam bidang tenaga hijau dan alternatif selaras komitmen Malaysia ke arah penggunaan tenaga lebih lestari dan mesra alam.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata satu mesyuarat yang diadakan dengan pihak pengurusan tertinggi Turkish Energy, Nuclear and Mineral Research Agency (TENMAK) membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan tenaga nuklear serta penerokaan mineral yang penting untuk pembangunan mampan kedua-dua negara.
Mesyuarat itu diadakan pada hari kedua bersempena siri lawatan kerja beliau ke Turkiye pada minggu ini yang bertujuan memperkukuh dan meneroka kerjasama baharu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).
"Kami turut meneliti potensi kerjasama dalam bidang tenaga hijau dan alternatif yang selaras dengan komitmen Malaysia ke arah penggunaan tenaga lebih lestari dan mesra alam.
"Lawatan teknikal ini juga memberikan kami gambaran lebih jelas mengenai kepakaran dan teknologi canggih digunakan TENMAK dalam pengurusan tenaga dan penyelidikan nuklear," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan TENMAK ialah langkah ke hadapan dalam memastikan Malaysia terus berada di hadapan dalam penerokaan teknologi berimpak tinggi seterusnya memperkukuh daya saing negara dalam sektor teknologi serta tenaga.
-- BERNAMA
#tenaga hijau #mesra alam #TENMAK #nuklear
;