Malaysia-Turkiye senada kecam Israel, desak dunia iktiraf Palestin sebagai ahli PBB - Anwar

Firdaus Azil
Februari 11, 2025 16:30 MYT
Anwar dan Erdogan bersetuju pengiktirafan Palestin sebagai ahli penuh PBB adalah satu-satunya penyelesaian yang mampu menamatkan konflik yang berlangsung sekian lama di antara Palestin dan Israel. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkiye senada dalam memperjuangkan nasib Palestin, dan sentiasa komited ke arah pendamaian, keselamatan dan bantuan kemanusiaan untuk penduduk negara itu yang sekian lama ditindas oleh Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ingin menekankan kepentingan untuk mengiktiraf Palestin sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Tambahnya lagi, beliau dan Erdogan bersetuju pengiktirafan tersebut adalah satu-satunya penyelesaian yang mampu menamatkan konflik yang berlangsung sekian lama di antara Palestin dan Israel.
“Turkiye telah menunjukkan kepimpinan, dan seperti mana yang kita tahu, mereka telah menghantar 100 kapal dengan peralatan dan bantuan kemanusiaan, sesuatu yang menakjubkan, dan tidak dibuat oleh mana-mana negara lain seingat saya.
“Dan kami (Malaysia) sudah tentu akan meneruskan usaha kami dan menggunakan fasiliti sedia ada di Turkiye, selain Qatar dan Mesir ketika ini (untuk membantu Palestin). Tetapi seperti yang saya sebutkan kepada Presiden, kami sudah tentu akan menyokong inisiatif Jepun untuk menubuhkan dana bagi pembangunan semula Gaza,” katanya lagi
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Erdogan, sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Turkiye itu ke Malaysia bermula Isnin.
Sementara itu Erdogan berkata, Turkiye amat menghargai ketegasan dan pandangan Malaysia terhadap nasib yang menimpa Palestin susulan kekejaman rejim Zionis itu.
“Menurut pandangan kami, rampasan tanah serta pendudukan secara haram Israel akan berterusan. Kita sudah lihat sebelum ini bagaimana Israel tidak mematuhi perjanjian terbaharu gencatan senjata.
“Israel perlu menghentikan aktiviti pendudukan haramnya dengan segera di wilayah Palestin, dan membayar segala pampasan di atas kerosakan dan kehilangan nyawa yang berlaku.
"Berdasarkan perjanjian sempadan 1967, amat perlu bagi sebuah negara yang berdaulat, bebas, dan mempunyai keunikan geografi seperti Palestin ditubuhkan,” tegasnya lagi.
Erdogan berkata, dalam mengalu-alukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kedua-dua negara akan terus berganding bahu dalam memperjuang nasib Palestin.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia mengalu-alukan minat Turkiye untuk menjadi rakan dialog ASEAN secara rasmi.
“Saya telah berjumpa dan berbincang dengan Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan), untuk pastikan kita angkat perkara ini kepada ketua-ketua negara ASEAN, bagi memastikan ada penyertaan yang mencukupi dan dilayan dengan adil.
“Seperti mana kita layan negara lain termasuk Kesatuan Eropah, Kanada, New Zealand dan Australia sebagai contoh, selain India, China, Jepun dan Korea. Jadi kita mahu tingkatkan penyertaan Turkiye sebagai rakan dialog ASEAN, dan ini akan menjadi keutamaan kami,” katanya lagi.
#Malaysia #Turkiye #Gaza #Palestin
;