Malaysia, Turkiye rakan strategik di Asia Tenggara - Menteri Pertahanan Turkiye
Bernama
September 16, 2023 10:40 MYT
September 16, 2023 10:40 MYT
ANKARA: Malaysia dan Turkiye adalah rakan kongsi strategik di Asia Tenggara, Agensi Anadolu (AA) memetik Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler sebagai berkata pada Jumaat.
"Hubungan antara negara kita berasaskan hubungan sejarah dan budaya serta prinsip kasih, hormat-menghormati dan kerjasama," kata Guler ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-66 di ibu negara Turkiye, Ankara.
Guler juga menyatakan bahawa Malaysia telah menjadi negara membangun dan mengukuhkan diri dalam pelbagai bidang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Di Turkiye, kami sangat gembira dengan perkembangan saudara kita Malaysia ini, yang dengannya kita mempunyai hubungan sejarah dan budaya yang berakar umbi."
Hubungan diplomatik antara Turkiye dan Malaysia telah terjalin sejak tahun 1964.
"Sebagai anggota PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam dan D-8, Turkiye dan Malaysia berkongsi perspektif yang sama mengenai pelbagai isu serantau dan global," menurut Kementerian Luar Turkiye.
-- BERNAMA