Malaysia tunggu pertimbangan negara sumber pekerja asing untuk sektor perladangan - KPPK

Bernama
Disember 7, 2021 14:56 MYT
Malaysia juga bergantung kepada negara sumber yang mempunyai persetujuan untuk menghantar pekerja mereka ke negara ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kemasukan pekerja asing dalam sektor perladangan sawit masih menunggu pertimbangan daripada negara sumber iaitu Indonesia, kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).
Timbalan Menterinya Datuk Willie Mongin berkata, pada perbincangan dengan kerajaan Indonesia baru-baru ini, kementerian mendapati negara tersebut masih dalam pertimbangan untuk membawa masuk pekerjanya ke negara ini walaupun telah bersetuju sebelum ini.
"Keutamaan Indonesia adalah untuk memuktamadkan memorandum persefahaman berhubung pengambilan dan perlindungan perkhidmatan domestik Indonesia (PDI) di negara ini terlebih dahulu.
"Itulah yang saya katakan bahawa kita bergantung kepada pekerja asing tetapi juga bergantung kepada negara sumber yang mempunyai persetujuan untuk menghantar pekerja mereka ke negara kita," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) berhubung kekurangan kemasukan pekerja asing dalam sektor perladangan sawit.
Willie menambah halangan tersebut bukan sahaja merugikan industri sawit tetapi juga membawa kerugian kepada pendapatan kerajaan.
Beliau berharap proses kemasukan pekerja asing dalam perladangan sawit dapat dipercepatkan bagi mengatasi masalah kerugian yang dialami sektor berkenaan.
Menjawab soalan Nga mengenai anggaran kerugian disebabkan kekurangan penuai dan pemungut buah tandan segar (BTS), Willie berkata pada Ogos 2021, kekurangan penuai dan pemungut BTS ialah seramai 25,471 orang.
Dengan purata produktiviti penuai dan pemungut iaitu 2 tan BTS sehari bagi setiap penuai dan pemungut, jumlah BTS yang tidak dapat dituai adalah sebanyak 50,942 sehari.
"Mengambil kira bilangan hari bekerja iaitu selama 26 hari sebulan, jumlah anggaran BTS yang tidak dapat dituai adalah sebanyak 1.3 juta tan sebulan yang menyamai 15.9 juta tan BTS setahun," katanya.
Beliau berkata dengan purata harga kehilangan minyak sawit mentah (MSM) RM4,555 setan metrik, nilai kerugian akibat kekurangan guna tenaga pada Ogos 2021 adalah sebanyak RM14 bilion setahun.
Anggaran jumlah kerugian itu telah meningkat sebanyak 56 peratus dan lebih 100 peratus berbanding tahun 2020 dan 2019, di mana jumlah kerugian ekoran daripada masalah kekurangan guna tenaga bagi tahun tersebut masing-masing dianggarkan sebanyak RM9 bilion dan RM6 billion setahun.
Sebelum ini, pada Oktober 2021 - Menteri KPPK Datuk Zuraida Kamaruddin berkata Malaysia bakal menerima 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan sawit.
-- BERNAMA
#pekerja asing #sumber tenaga #Indonesia #Sektor Perladangan
;