Malaysia tuan rumah Sidang Kemuncak Keusahawanan Global 2013

Astro Awani
Oktober 8, 2013 23:00 MYT
Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) keempat minggu ini dengan penyertaan lebih daripada 3,000 peserta dari seluruh dunia.
Acara penting yang lahir daripada Ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama di Kaherah pada 2009 ini dilihat dapat mengukuhkan hubungan di antara usahawan, pemimpin perniagaan, badan bukan untung, dan pembuat dasar dari AS dan komuniti Islam di seluruh dunia.
Sidang Kemuncak Presiden mengenai Keusahawanan yang diadakan di Washington, DC, pada 2010 telah menunjukkan komitmen Obama dalam perkara ini.
Dengan menganjurkan GES pertama di rantau Asia Pasifik, Malaysia menunjukkan kepimpinan dan komitmennya untuk memupuk inovasi di seluruh dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib akan disertai oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Penny Pritzker, dan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Michael Froman serta pemimpin-pemimpin dunia yang lain, usahawan, inovator, dan belia.
Duta Besar AS ke Malaysia, Joseph Y. Yun berkata dalam satu kenyataan, sidang kemuncak ini merupakan satu lagi peluang untuk menunjukkan bagaimana kedua-dua negara terus berkongsi ikatan persahabatan dan kerjasama yang dibina oleh rakyat di kedua-dua negara.
“Pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global dan seterusnya, usahawan-usahawan ini, dari yang muda hingga yang tua, akan membangunkan idea untuk menerima pakai teknologi baru, menggalakkan kreativiti, memudahkan persekitaran perniagaan keusahawanan, menyokong perusahaan kecil dan sederhana, dan menggalakkan golongan muda untuk meneroka potensi inovasi mereka.
“Saya pasti bahawa jalinan baru peribadi, rangkaian perniagaan, benih inspirasi untuk syarikat baru, dan idea inovatif untuk meningkat maju akan terus mengukuhkan hubungan AS-Malaysia,” kata Joseph.
GES merupakan pelaburan untuk pemimpin masa depan, dengan penekanan yang lebih terhadap guru dan pelajar.
Di Malaysia, Amerika kini mempunyai 75 orang Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright yang bertugas di sekolah-sekolah di Johor, Pahang, Terengganu dan Perak.
“Begitu juga bagi sukarelawan Amerika yang akan membawa pulang ke Amerika Syarikat pemahaman yang mendalam dan rasa hormat kepada masyarakat dan budaya Malaysia.
“Saya juga berbesar hati untuk memberitahu bahawa syarikat-syarikat Amerika Syarikat sedang berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kemakmuran melalui perdagangan dan pelaburan,” tambah beliau.
Amerika Syarikat adalah pelabur asing terbesar di Malaysia, dengan mempunyai lebih daripada 150,000 rakyat Malaysia yang dibayar dengan gaji yang baik dan menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi negara.
“Hubungan kukuh AS-Malaysia juga terbina melalui kerjasama tentera, kelasi, pegawai penguatkuasaan undang-undang dan pekerja bantuan kedua-dua negara yang berganding bahu untuk meningkatkan keselamatan di rantau ini, menyediakan bantuan kemanusiaan sekiranya berlaku bencana, dan melindungi rakyat kedua-dua negara daripada ancaman penjenayah dan pengganas,” Joseph berkata.
#Amerika #Barack Obama #GES #kerjasama #Malaysia #Najib Razak #usahawan