Malaysia tuan rumah pusat haiwan dan Zoonosis ASEAN
Bernama
September 11, 2015 10:33 MYT
September 11, 2015 10:33 MYT
Pusat Penyelarasan bagi Kesihatan Haiwan dan Zoonosis ASEAN (ACCAHZ) akan ditubuhkan, dengan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah pertamanya.
Perkara ini dipersetujui pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) di sini pada Khamis.
ACCAHZ akan menyelaraskan usaha mengawal, mencegah dan membasmi penyakit haiwan dan zoonosis rentas sempadan yang melibatkan negara anggota ASEAN, rakan dialognya dan pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu, Pertubuhan bagi Kesihatan Haiwan (OIE) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu, ketika mengucapkan terima kasih kepada negara anggota ASEAN kerana memilih Malaysia menjadi tuan rumah ACCAHZ berkata, "Malaysia berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk mengetuai satu lagi inisiatif serantau penting bagi mengukuhkan lagi kerjasama
dalam bidang veterinar dan kesihatan awam dalam kalangan negara Asia Tenggara.
"Di samping itu, ia juga mencerminkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ke arah mencapai Komuniti ASEAN 2015," katanya.
Ahmad Shabery berkata krisis penyakit haiwan seperti selesema burung, memberi kefahaman lebih jelas kepada masyarakat antarabangsa tentang manfaat mengamalkan dasar dan program kesihatan haiwan sewajarnya bagi menjaga kesihatan orang ramai dan menjamin keselamatan makanan.
“Rekod kejayaan kami dalam menangani penyakit haiwan dan zoonotik seperti Virus Nipah Encephalitis, selesema burung dan penyakit anjing gila, memberi keyakinan kepada negara anggota ASEAN tentang kemampuan kami untuk mengurus pusat berkenaan," katanya.
Mesyuarat AMAF ke-37 selama dua hari yang bermula Khamis, melibatkan kementerian berkenaan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialognya seperti China, Jepun, Korea Selatan dan India.
Sementara itu, pemangku ketua pengarah Jabatan Veterinar Malaysia Dr Kamarudin Md Isa berkata ACCAHZ juga akan memberi manfaat kepada sektor pertanian dan kesihatan Malaysia melalui perkongsian mekanisme pengurusan maklumat tentang kesihatan ternakan dan zoonosis, yang akan diwujudkan kelak.
"Di samping itu, ia akan menjadi pemangkin bagi pembinaan keupayaan dalam bidang perkhidmatan veterinar, terutama dalam mengurus penyakit baru muncul," katanya.
Dr Kamarudin berkata jabatan itu sedang menaik taraf bangunannya di Salak Tinggi, Selangor, yang akan menempatkan pejabat ACCAHZ.
"Lokasinya sungguh strategik kerana hanya 30 minit perjalanan dengan kereta dari pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya, dan 15 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
"Ini menghubungkannya dengan semua ibu negara anggota ASEAN dan seluruh dunia," kata beliau.