Malaysia tuan rumah Mesyuarat MSC Mengenai Jerebu 2022

Bernama
November 30, 2021 19:38 MYT
Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat ke-23 Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) dan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang akan berlangsung tahun depan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat ke-23 Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) dan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang akan berlangsung tahun depan.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu dijangka diadakan pada Mei 2022 di Putrajaya namun tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19.
Malaysia melalui delegasi yang diketuai Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyertai Mesyuarat Ke-22 MSC dan TWG Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan secara dalam talian pada semalam dan hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia Dr Alue Dohong yang juga selaku tuan rumah, manakala Malaysia berperanan sebagai timbalan pengerusi mesyuarat, menurut KASA.
Mesyuarat tahunan itu turut melibatkan empat lagi negara MSC di rantau ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand bagi membincangkan strategi pencegahan pencemaran jerebu merentas sempadan serta isu-isu berkaitan.
Menurut kenyataan KASA itu, sepanjang 2020 dan 2021, tiada sebarang insiden jerebu merentas sempadan berlaku di rantau ASEAN dan negara MSC turut melaporkan tindakan pencegahan di peringkat nasional dan sub-serantau yang telah dilaksanakan sepanjang 2021.
"Negara ASEAN berikrar untuk memberikan komitmen berterusan dalam mencegah dan menangani pembakaran terbuka khususnya melibatkan hutan, ladang dan tanah gambut yang menjadi punca utama jerebu merentas sempadan," menurut KASA.
-- BERNAMA
#MSC #jerebu rentas sempadan #KASA #Kementerian Alam Sekitar dan Air #Tuan Ibrahim Tuan Man #COVID-19
;